GAZA, 29 Mei 2018 — Seorang wanita menutup mukanya supaya tidak dikenali orang, melihat ke arah kanan dan kiri, dan menunggu para pelanggan selesai membeli dan meninggalkan kedai menjual ayam berdekatan rumahnya di kota Gaza.

Beliau kemudiannya bergegas ke tempat sampah, mencari saki-baki kaki ayam di atas tanah untuk dijadikan hidangan berbuka puasa untuk anak-anaknya. Keluarganya tidak pernah makan daging sejak lebih sebulan lalu.

Wanita tersebut, yang hanya memperkenal diri sebagai M.A., diperkenalkan kepada kami oleh seorang pegawai jawatankuasa sosial di sebuah kejiranan di kota Gaza. Beliau terpaksa menyara hidup empat orang anak, serta suaminya yang sedang menghidap banyak jenis penyakit. Beliau tinggal dalam sebuah rumah sewa, yang kadang-kala sewanya dibayar oleh para dermawan. Keadaan itu membolehkan beliau dihalau keluar pada bila-bila masa.

Roti Dengan Teh Kosong

Sementara itu S.A., seorang penjawat awam, menitiskan air mata merayu kepada pegawai jawatankuasa sosial supaya memberi apa sahaja yang ada untuk 11 ahli keluarganya, sambil bersumpah bahawa sejak hari pertama bulan Ramadan keluarganya berbuka puasa hanya dengan roti dan teh tanpa gula.

Penjawat awam itu memberitahu kami bahawa nasibnya menjadi terbalik dengan gajinya dipotong, sedangkan gaji asal sudah tidak cukup untuk menampung keperluan asas keluarganya.

Apabila kami bertanya bagaimana ahli keluarga beliau berbuka puasa, beliau menjawab dengan linangan air mata: “Mereka makan kacang yang dihadiahkan oleh para dermawan.” Sambung beliau, “Kami makan kacang tanpa perasa asas lemon, lada hitam, bawang… kerana harga bagi sekilogram lemon di Gaza adalah lima shekel [RM5.60].”

Pegawai jawatankuasa sosial di kejiranan beliau, yang enggan mendedahkan namanya mahupun nama kejiranan tersebut, menjelaskan bahawa dia tanpa henti menerima panggilan dan permohonan bukan hanya dari orang-orang miskin, tetapi juga ratusan pekerja yang hidup di bawah paras kemiskinan. Jumlah mereka dalam kejiranan tersebut meningkat dengan ketara sekali sejak Pihak Berkuasa Palestin (PA) mula memotong gaji penjawat awam di Gaza.

Berkongsi Apa Sahaja Yang Ada

Kisah keluarga M.N. tidak ada bezanya dari keluarga-keluarga lain. Bantuan makanan asas yang diterimanya dari jawatankuasa sosial, dianggarkan bernilai 50 shekel [RM56], harus dikongsi dengan dua saudaranya yang sudah berumahtangga serta ibubapanya.

Pegawai jawatankuasa sosial bersumpah bahawa seorang bapa menelefon beliau sebelum waktu Sahur, memohon beberapa buku roti untuk diberi makan anak-anaknya.

Pegawai tersebut mengadu bahawa kebanyakan peniaga dan orang berada cuba mengelak daripada membantu orang-orang miskin, sebagaimana sikap mereka pada setiap tahun. Ini bukan kerana mereka enggan membantu, tetapi krisis ini turut memberi kesan teruk kepada mereka sehinggakan ramai yang hanya dapat menjual satu daripada 10 barang jualan, atau kurang daripada itu, dalam bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan lain.

Semua kawasan-kawasan kejiranan di Gaza adalah serupa dengan keadaan di kejiranan ini.

Pakar-pakar ekonomi mengesahkan bahawa wilayah yang terkepung itu telah memasuki fasa keruntuhan ekonomi, dengan 80% penduduknya hidup dalam kemiskinan dan lebih 70% bergantung kepada bantuan.

(PIC)

SHARE