Kehidupan Ngeri Pelarian Palestin Di Kem Yarmouk

DAMASKUS, 31 Jan 2015 (EI/UNRWA) — Menjelang genap lima tahun peperangan di Syria, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) memberi amaran bahawa mereka tidak dapat menghantar bantuan ke kem pelarian Yarmouk, tidak jauh dari ibu kota Damaskus, sejak 6 Disember lalu.

Penduduk Yarmouk kini mengalami kekurangan zat makanan yang kronik, kekurangan air serta vitamin, dan mengakibatkan kekurangan  protein yang teruk.
Penduduk Yarmouk mengalami kekurangan zat makanan yang kronik, kekurangan air serta vitamin, dan mengakibatkan kekurangan protein yang teruk.

“Yarmouk dan kawasan sekitarnya menyaksikan peningkatan yang serius dalam konflik bersenjata secara berterusan sehingga mengganggu pengagihan bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa 18,000 orang awam yang terperangkap di kawasan itu,” kata Chris Gunness, jurucakap UNRWA, agensi PBB bagi pelarian Palestin.

Yarmouk pernah menjadi pusat penempatan terbesar pelarian Palestin di Syria. Sebelum tercetusnya pergolakan, pelarian Palestin di kem ini berjumlah sekitar 180,000 orang, di samping beberapa ratus ribu warga Syria turut menetap di situ.

Yarmouk berada dalam kepungan tentera rejim Bashar sejak Disember 2012. Puluhan orang telah mati akibat kebuluran apabila tentera rejim menghalang semua jalan masuk ke kem tersebut mulai bulan Julai 2013. Sejak itu, bekalan utama elektrik juga dihentikan.

Kebanyakan rakyat Palestin di Syria adalah pelarian dari sejak tragedi pembersihan etnik pada tahun 1948 serta keturunan mereka, dan juga pelarian selepas tentera Zionis memasuki Tebing Barat dan Gaza pada tahun 1967.

Sebelum tercetusnya keganasan pada awal tahun 2011, sekitar 520,000 pelarian Palestin tinggal di Syria. Mereka menetap di kem-kem pelarian dan beberapa kota lain di Syria, di mana mereka menikmati banyak hak yang hampir sama dengan rakyat Syria, termasuk peluang pekerjaan dalam perkhidmatan kerajaan.

Keadaan telah berubah menjadi teruk secara dramatik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di Yarmouk.

Menurut UNRWA, tahu lalu mereka hanya berjaya mengagihkan bantuan makanan yang “bersamaan dengan hanya 400 kalori bagi setiap penduduk yang setiap hari,” kadar yang jauh lebih rendah daripada jumlah kalori harian di zon krisis yang disyorkan oleh World Food Program, iaitu 2,100 kalori setiap hari.

“Keperluan asas lain, termasuk rawatan kesihatan, barang-barang bukan makanan dan tempat tinggal yang mencukupi juga tidak tidak dapat dibekalkan, termasuklah bekalan air yang bersih dan selamat untuk diminum,” kata agensi itu.

Serangan berterusan dan rambang menjadikan sebahagian besar daripada Yarmouk timbunan runtuhan.
Serangan berterusan dan rambang menjadikan sebahagian besar daripada Yarmouk timbunan runtuhan.

Menurut penduduk, mereka mandi hanya sekali untuk setiap dua minggu, menggunakan air yang dipam dari telaga terbuka. Kos bahan api yang tinggi menyebabkan mereka hanya dapat menggunakan pam sekali dalam seminggu.

Lazimnya mereka memerlukan masa selama lima jam untuk mengisi dan membawa pulang 100 liter air untuk keluarga mereka, yang akan digunakan untuk tempoh lima hari.

Penduduk Yarmouk mengisi bekas dengan air bawah tanah yang tidak dirawat dari telaga digali dari permukaan jalan kem.
Penduduk Yarmouk mengisi bekas dengan air bawah tanah yang tidak dirawat dari telaga digali dari permukaan jalan kem.

Mengeruhkan lagi keperitan, ketiadaan bekalan elektrik memaksa mereka mengangkut air menaiki tingkat-tingkat bangunan tempat tinggal, kerana mereka tidak mempunyai sistem pam untuk menghantar air ke tangki bekalan di atas bumbung.

https://www.youtube.com/watch?v=PXxF_yIo4WA

Cuaca musim sejuk memburukkan lagi kesengsaraan di Yarmouk, menjadikan bekalan air dan sayur-sayuran yang ditanam oleh penduduk beku. Oleh kerana tidak ada makanan dapat dibawa masuk ke Yarmouk, mereka terpaksa bergantung kepada lobak dan sayur-sayuran asas yang lain, sungguhpun makanan tersebut juga membeku akibat cuaca sejuk.

Serangan ribut musim sejuk baru-baru ini benar-benar menyengat penduduk, kerana mereka tidak ada cara untuk memanaskan seisi rumah. Tambahan pula banyak tingkap dan pintu yang pecah.

Seorang penduduk bernama Raeda berkata, “kami tidak ada kayu api, jadi kami membakar perabot dan pakaian, dan apa sahaja yang kami ada untuk dijadikan bahan bakar bagi memanaskan badan. Tetapi asap yang keluar dari pembakaran barangan seperti ini memburukkan lagi kesakitan kami.”

https://www.youtube.com/watch?v=ykxbSxiiY2g

Hospital utama di Yarmouk telah rosak diserang dan mengalami masalah kekurangan kakitangan dengan teruknya, tanpa ubat atau alatan perubatan.

Hospital ini tidak mempunyai alat pembedahan dan tiada pakar bedah. Mereka hanya mempunyai satu mesin ultrasound yang sudah ketinggalan zaman. Perkhidmatan rawatan sakit puan yang sangat tidak mencukupi dan kekurangan zat makanan membawa risiko komplikasi yang tinggi ke atas ibu dan bayi yang baru dilahirkan.

Perjuangan hidup seharian di kem Yarmouk sangat memeritkan. Seorang penduduk, Niraz Saied menceritakan, “saya perlu bangun awal pagi dan mengisi baldi dengan air dari telaga dengan menggunakan apa sahaja peralatan yang ada.” Menurut Saied, rasa air yang diambil dari telaga tersebut tidak lagi seperti air, tetapi mereka sudah terbiasa dengan masalah itu. “Kemudian saya perlu mengumpul kayu api dari rumah-rumah yang telah roboh. Harga minyak di kem ini sangat mahal, tetapi saya agak bernasib baik kerana mempunyai tong gas dan sebuah penjana elektrik. Elektrik telah menjadi suatu kemewahan yang jarang diperolehi, sehinggakan ramai kanak-kanak yang dilahirkan semasa pengepungan membesar tanpa pernah mengetahui bagaimana rasanya mendapat bekalan elektrik.”

Kira-kira 480,000 pelarian Palestin kekal tinggal di Syria, di mana lebih daripada 280,000 orang terpaksa menjadi pelarian lagi di tempat lain dalam negara ini. Seramai 80,000 orang lari meninggalkan Syria, sebahagian besar daripada mereka ke Lubnan dan Jordan. Kesempitan hidup mereka diburukkan lagi dengan meningkatnya kemiskinan, dasar diskriminasi dan status undang-undang yang tidak menentu.

Ramai pelarian Palestin, sepertimana 18,000 orang yang terperangkap di kawasan Yarmouk yang terkepung, terpaksa mengurangkan pengambilan makanan mereka kepada satu hidangan sehari, manakala kanak-kanak sering meninggalkan sekolah untuk membantu keluarga mereka.

Penduduk Yarmouk kini mengalami kekurangan zat makanan yang kronik, kekurangan air serta vitamin, dan mengakibatkan kekurangan protein yang teruk.

Tidak lama dahulu, Yarmouk menjadi ibu negara diaspora Palestin di Syria. Hari ini, kem itu telah musnah.

Seorang ibu memasak makanan untuk anak-anaknya.
Seorang ibu memasak makanan untuk anak-anaknya.

Apa yang sedang dialami oleh pelarian Palestin yang terkepung di Syria amat mengerikan. Pada tahun 2014, kadar pengangguran di Syria mencapai 54 peratus, dan ia dijangka mencecah 66 peratus pada tahun 2015. Harga makanan telah meningkat dengan ketara, dengan peningkatan sebanyak 387 peratus sejak tahun 2011, dan 20 peratus sejak Mei 2014 sahaja.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts