Kelahiran Pertama Anak Melayu di Jalur Gaza

GAZA, 3 Mei 2012 — Di tengah-tengah keperitan Jalur Gaza yang terkepung dari dunia luar oleh sekatan zionis Israel yang menyebabkan terjadinya krisis bekalan bahanapi dan elektrik dengan keadaan yang semakin sengsara, telah lahir seorang puteri anak Melayu yang pertama di sini.

Abdillah dan Rajaa bersama cahaya mata mereka
Abdillah dan Rajaa bersama cahaya mata mereka

Puteri tersebut merupakan permata kepada seorang relawan Indonesia yang tinggal di Gaza sejak 3 tahun lalu bagi menyelia projek pembangunan Rumah Sakit Indonesia, sebuah amanah dari seluruh rakyat Indonesia untuk rakyat Palestin di Jalur Gaza. Relawan bernama Abdillah Onim merupakan seorang alumni pelayaran kapal Mavi Marmara yang diserang zionis Israel di perairan antarabangsa laut Mediterranean pada tahun 2010. Beliau bersama para relawan Malaysia turut dimasukkan ke penjara zionis Israel. Setelah tragedi kapal Mavi Marmara, Abdillah Onim tidak mundur walaupun selangkah untuk tetap meneruskan misi kemanusiaan dan memasuki Jalur Gaza di bawah koordinasi NGO MER-C Indonesia.

Abdillah melangsungkan perkahwinan dengan seorang Hafidzah yang bernama Ustadzah Rajaa Ali Yusuf di Masjid Umari Jabaliya pada bulan Mac 2011. Ustadzah Rajaa merupakan lepasan sarjana dari University College of Applied Science, Gaza City dalam jurusan pendidikan. Beliau juga memikul amanah menjadi koordinator tadika khusus untuk anak yatim dan fakir miskin di Jabaliya yang dibiayai oleh rakyat Indonesia melalui NGO Sahabat Al-Aqsho.

Pada 25hb April 2012, tibalah delegasi dari HALUAN Malaysia di Jalur Gaza. Di kalangan mereka terdapat juga tiga orang alumni pelayaran Mavi Marmara. Apabila mendengar berita penantian kelahiran anak ini, pasukan yang diketuai oleh Dr Syed Muhammad Haleem itu sangat berkeinginan untuk menyaksikan kelahiran anak Melayu pertama di Jalur Gaza, akan tetapi Allah SWT belum memberikan kesempatan kepada para relawan HALUAN untuk menyaksikan saat bersejarah ini. Anak ini dilahirkan pada jam 11:50 pagi 3hb Mei 2012 di Hospital As-Syifa, beberapa jam setelah pasukan HALUAN keluar dari Jalur Gaza.

Marwa, anak Melayu pertama di Gaza bersama datuknya. Semoga ikatan Tanah Melayu dan Palestin bertambah erat lagi.
Marwa, anak Melayu pertama di Gaza bersama datuknya. Semoga ikatan Tanah Melayu dan Palestin bertambah erat lagi.

Dalam emel beliau kepada Media HALUAN, Abdillah Onim berkata, “kelahiran puteri kami ini adalah sebuah kurniaan dari Allah SWT. Kami beri nama Marwiyah (Marwa) Filindo Umu Ikhlas Onim, di mana Filindo di ambil dari bahasa Filistin dan Indonesia yang melambangkan kolaborasi antara Nusantara dan Palestin, sedangkan Marwiyah atau Marwa adalah nama ibu saya di Galela Halmahera Utara. Saya tambahkan Umu Ikhlas kerana beliaulah ibu saya yang mengikhlaskan saya untuk pergi berjuang di Jalur Gaza bagi menyalurkan bantuan amanah dari rakyat Indonesia untuk rakyat Palestin, iaitu satu unit rumah sakit Indonesia di Beit Lahya di utara Gaza.”

Abdillah dan isterinya turut merakamkan jutaan terima kasih atas doa teman-teman beliau yang ada di Malaysia dan juga Indonesia. Beliau menambah, “harapan kami, semoga dengan kelahiran puteri kami ini akan semakin menambah ukhuwah pertalian antara Melayu dengan Palestin, antara Malaysia dengan Palestin dan antara Indonesia dengan Palestin, kerana perlu kita semua ketahui bahawa kedua Negara Melayu ini sangat akrab di hati para rakyat Palestin khususnya di Jalur Gaza yang masih terkepung oleh zionis Israel.”

Tahniah daripada HALUAN Malaysia dan para relawan HALUAN yang baru sahaja pulang dari Gaza. Semoga kelahiran puteri ini mengukuhkan ukhuwwah di antara rakyat Palestin dan muslimin di Nusantara ini.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts