Keluarga di Gaza Berkumpul, Mengharap Keselamatan

gaza6-01GAZA, 18 Nov 2012 — Lebih daripada 15 orang ahli keluarga Dalloul tidur dalam satu bilik di rumah mereka di kejiranan al-Zaytoun, kawasan berpenduduk padat di tenggara Bandar Gaza.

“Pada waktu malam, semua kanak-kanak dan ahli keluarga kami yang tua terpaksa bersesakan di atas tilam-tilam ini,” kata Naeema Dalloul, ibu kepada tujuh orang anak, kepada The Electronic Intifada pada petang Sabtu ketika bunyi letupan bom kedengaran di latarbelakang, memekakkan telinga.

Dalloul dan anak-anaknya biasanya tinggal di kejiranan Tal al-Hawa di kawasan barat, tetapi apabila Zionis mula mengebom sengit Semenanjung Gaza pada hari Rabu, dia berpindah ke rumah ibu bapanya di al-Zaytoun.

“Apabila serangan udara bermula pada hari Rabu, saya sedang bercakap di telefon dengan suami saya. Saya bimbang tentang tujuh orang anak-anak saya, jadi saya berpindah di sini untuk tinggal dengan mereka,” kata Dalloul. “Tetapi seperti yang anda dapat lihat, serangan sangat meluas seolah-olah tiada siapa yang boleh selamat.”

Malah, kejiranan al-Zaytoun telah menjadi salah satu kawasan yang paling sengit dibom.

Sumber perubatan dan pertubuhan hak asasi manusia berkata jumlah kematian dalam serangan Zionis sehingga petang Sabtu telah mencapai kira-kira 40 orang, dengan sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak terbunuh. Beratus-ratus lagi dilaporkan cedera.

Pada hari Sabtu, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tujuh cedera dalam serangan ke atas al-Zaytoun.

Malam-malam yang menakutkan

Bunyi letupan bom yang berterusan memberi kesan kepada kanak-kanak.

“Anak perempuan saya yang berusia empat tahun, Tala, akan bersembunyi di belakang saya apabila terdendar letupan kuat serangan udara Zionis,” kata Dalloul. “Kali ini, keadaan agak menakutkan dan tiada siapa yang boleh meramalkan apa yang bakal berlaku. Tetapi kami cuba untuk menangani sebaik yang kami mampu. “

Kanak-kanak begitu takut pada waktu malam, bahkan orang-orang yang lebih tua, apabila mereka bangun untuk pergi menggunakan bilik air pada waktu malam, mereka mendesak ibu mereka pergi dengan mereka.

Ibu kepada Dalloul, yang dikenali sebagai Um Fathi, berusia lewat 70-an dan berasal bandar Bir al-Saba (Beersheva) di wilayah Palestin sedang dijajah Zionis, duduk di kerusi menonton TV bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain.

“Serangan Zionis di Bir al-Saba memaksa keluarga saya melarikan diri,” kata Um Fathi, mengimbau sejarah keluarganya berhijrah pada tahun 1948 dari kampung halaman mereka iaitu apa yang sekarang ini digelar sebagai “Israel.” “Tetapi sekarang saya menggalakkan semua anak-anak dan cucu-cucu saya supaya tidak tunduk, dan kekal teguh dan tidak melarikan diri. Kita tidak akan meninggalkan (tempat ini.) Kami akan kekal teguh. “

“Apabila saya terdengar serangan udara, saya menutup telinga menggunakan tangan dan berasa takut,” kata Wisam Dalloul yang berusia sembilan tahun, yang kelihatan takut apabila letupan bom berbunyi. “Saya tidak tahu apa yang berlaku dan seperti yang saya lihat di TV, kanak-kanak seperti saya sedang dibunuh atau cedera.”

Bapa Wisam, Yehya, adalah seorang pemandu teksi bagi mencari nafkah untuk seisi keluarga, termasuk kakaknya Naeema dan anak-anaknya, dan juga ibunya yang sudah tua.

“Seperti yang anda lihat, saya terperangkap di rumah dan tidak dapat bekerja kerana jalan-jalan hampir kosong dan keadaan adalah sangat berisiko,” kata Yehya. “Sesekali, saya mahu keluar, tetapi lima anak dan isteri saya menegaskan saya tidak perlu pergi keluar,” kata bapa muda itu.

Bimbang tentang serangan berlarutan

Yehya melakukan yang terbaik untuk memastikan keluarganya mendapat bekalan keperluan.

“Buat masa ini, saya mempunyai bekalan yang cukup seperti makanan, gas memasak dan perkara-perkara lain,” katanya. “Tetapi persoalan di sini ialah, bagaimana pula jika keadaan ini berterusan? Sebagai pemandu teksi, apabila saya pergi ke tempat kerja, saya boleh menyediakan keperluan untuk keluarga saya. Tetapi jika saya tinggal di rumah, saya tidak tahu bagaimana saya akan menguruskan keperluan mereka.”

Muhammad Dalloul, seorang siswazah berusia 25 tahun, salah seorang daripada ahli keluarga Dalloul yang ramai yang tinggal berdekatan dekat antara satu sama lain dalam kejiranan tersebut, tinggal di tingkat atas.

“Setiap 15 minit kita mendengar satu letupan kuat dari jarak yang sangat dekat, seolah-olah pesawat mempunyai alat jangka masa yang telah ditetapkan secara automatik untuk menembak roket ke Gaza.”

Muhammad berkata bahawa dia berjaga sepanjang malam untuk mengikuti laporan berita. “Itu semua yang saya boleh lakukan,” katanya. “Sudah tentu, saya tidak keluar kerana risiko melainkan jika ia kecemasan.”

Tiada perlindungan

Ibu kepada Muhammad, Um Muhammad, yang berusia lewat 40-an, berkata bahawa dia dan dua anak lelakinya juga tidur dalam satu bilik rumah kecil mereka kerana mereka percaya itulah cara yang paling selamat.

“Serangan Zionis kali ini tidaklah sebesar perang pada tahun 2009,” katanya, “tetapi serangan mereka terus menerus tanpa henti dan kami seolah-olah sedang menunggu nasib. Kami masih kuat dan mampu untuk menghadapinya, Insyaallah. “

Um Muhammad menegaskan bahawa tidak ada tempat perlindungan daripada serangan udara di Gaza dan beliau bimbang dengan apa yang akan berlaku. “Kami cukup yakin bahawa musuh kami tidak peduli dengan kehidupan kami,” katanya.

——–

Terjemahan laporan The Electronic Intifada oleh Rami Almeghari, seorang wartawan dan pensyarah universiti di Gaza.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts