Ringkasan

Keluarga Palestin Terakhir di Aqabat al-Khalidiya Bakal Diusir

qudsAL-QUDS, 9 Feb 2015 (IMEMC) — Sekumpulan pendatang Yahudi cuba menghalau keluar keluarga Palestin yang menyewa sebuah rumah di kejiranan Aqabat al-Khalidiya di al-Quds Timur. Mereka mendakwa rumah tersebut adalah milik sebuah keluarga Yahudi, justeru pendatang Yahudi lebih berhak untuk tinggal di situ.

Pemilik rumah tersebut, Ahmad Sublaban, berkata keluarganya mula menyewa rumah tersebut dari jabatan Jagaan Harta Musuh (Custodian of Enemy Property – CEP) di bawah pemerintahan Jordan pada tahun 1956, iaitu 11 tahun sebelum Zionis menjajah kawasan timur al-Quds. Jabatan tersebut bertanggungjawab ke atas semua harta yang dirampas daripada Yahudi di Tebing Barat pada tahun 1948. Namun mulai tahun 1967, fungsi jabatan ini telah dimansuhkan.

Keluarga Sublaban menyewa rumah tersebut sebagai “penyewa yang dilindungi” di mana penyewa diberi keistimewaan tertentu, antaranya adalah kadar sewa yang tetap walaupun 20% lebih rendah daripada kadar pasaran. Penyewa juga dilindungi daripada arahan mengosongkan rumah walaupun bayaran sewa telah tertunggak, dan mereka juga berhak untuk memindahkan hak menyewa kepada penyewa lain dan menerima bayaran pampasan daripadanya.

Isu rumah yang disewa oleh keluarga Sublaban menjadi tumpuan utama siri perbalahan di mahkamah yang berlanjutan sejak tahun 1978. Terkini, Pertubuhan Yahudi “Ateret Cohanim” menfailkan tuntutan di mahkamah untuk merampas hartanah tersebut pada tahun 2010, dan memenangi tuntutan tersebut. Namun, keluarga Sublaban membuat rayuan di sebuah Mahkamah Daerah, yang dijadualkan membuat keputusan pada 31 May 2015.

Sungguhpun undang-undang berpihak kepada keluarga Sublaban, pertubuhan Ateret Cohanim telah menggunakan testimoni palsu bagi membuktikan bahawa rumah tersebut tidak dihuni untuk satu tempoh yang lama.

Menurut Ahmad Sublaban, rumah tersebut kini merupakan rumah yang terakhir didiami oleh keluarga Arab di Aqabat al-Khalidiya. Sekiranya rayuan mereka gagal, tidak akan ada lagi keluarga Arab di kejiranan tersebut.

Seorang lagi ahli keluarga, Rafat Sublaban, melaporkan bahawa seorang peguam bersama seorang pendatang Yahudi telah datang untuk cuba menghalau keluarganya keluar. Mereka cuba mengambil alih rumah tersebut, walaupun keputusan mahkamah masih belum diumumkan. Peguam dan pendatang Yahudi terbabit turut mengugut keluarga Sublaban supaya menandatangani dokumen yang mengatakan bahawa mereka akan meninggalkan rumah tersebut dalam tempoh seminggu.

Ahmad dan Rafat turut mengesahkan bahawa keluarga mereka telah beberapa kali berhadapan dengan cubaan jahat untuk menghalalkan proses menghalau mereka keluar, termasuklah tuduhan membuat kerosakan ke atas harta yang disewa dan juga dakwaan keluarga Sublaban memiliki rumah di tempat lain, dan sebagainya.

Zionis berusaha secara sistematik untuk mengosongkan kota al-Quds daripada keluarga Palestin dan menggantikan mereka dengan pendatang Yahudi. Pendatang Yahudi serta rejim Zionis secara haram menghalau keluar penduduk Palestin dari rumah yang mereka sewa secara sah. Pada masa yang sama, mereka juga menafikan hak untuk kembali kepada penduduk Palestin yang telah dihalau pada tahun 1948.

500,000 pendatang Yahudi kini tinggal di kawasan penempatan haram di Tebing Barat, di mana 200,000 daripadanya adalah di al-Quds Timur.

Menurut statistik PBB, 35% daripada kawasan al-Quds Timur yang dirampas oleh Zionis diperuntukkan kepada penempatan haram Yahudi. Kebanyakan penempatan ini tertumpu di kawasan yang digelar “Lembah Suci” termasuklah kawasan kuarters Islam dan Kristian di Kota Lama, Silwan, Sheikh Jarrah, At-Tur (Bukit Zaitun), Wadi Joz, Ras al-‘Amud dan Jabal Al Mukabbir.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts