Kempen Bantuan Musim Sejuk 2014 Untuk Gaza dan Syria

winter2014-2BANDAR BARU BANGI, 4 Dis 2014 (BHP) — Penduduk Gaza terus disekat oleh rejim Zionis dan sekutunya sejak Mac 2007. Mereka dibelenggu dengan kemiskinan dan kemusnahan, di mana tentera Zionis telah melancarkan lima serangan besar-besaran sejak bermulanya sekatan. Serangan terkini selama 51 hari yang berakhir pada 26 Ogos lalu telah memusnahkan lebih 58,000 buah rumah dan ribuan lagi infrastruktur awam. Sehingga kini 70,000 orang masih tidak mempunyai tempat berteduh dan terpaksa menghuni di bawah runtuhan rumah mereka yang musnah atau kemah sementara.

Manakala penduduk Syria masih berhadapan dengan peperangan sejak Mac 2007 di mana sekitar 10 juta terpaksa lari menyelamatkan diri ke negara jiran. Sebahagian lagi terkepung di dalam Syria sendiri dan terputus daripada bantuan kemanusiaan sehinggakan ada yang mati kebuluran. Sebanyak 75% daripada jumlah pelarian Syria adalah merupakan wanita dan kanak-kanak.

Bagi sebahagian besar pelarian Syria, mereka berhadapan dengan musim sejuk kali keempat dalam keadaan suhu yang amat sejuk, kelaparan, tanpa tempat tinggal yang sesuai dan tekanan daripada negara yang ditumpang.

Menyedihkan lagi, World Food Programme yang dikendalikan oleh PBB Isnin lalu telah memutuskan untuk menghentikan bantuan makanan kepada 1.7juta pelarian Syria di Turki, Lubnan, Iraq, Jordan dan Mesir atas alasan kekurangan dana bantuan.

Salji sudah mula turun di beberapa kawasan di Syria, menandakan bermulanya musim sejuk yang panjang. Tahun lalu penduduk Gaza telah dilanda musim sejuk paling teruk dalam tempoh 30 tahun, di mana buat pertama kalinya Gaza dituruni salji dan mengalami bencana banjir besar. Musim sejuk kali ini diramalkan lebih teruk lagi, di mana purata suhu di Gaza buat masa ini adalah di bawah 10 darjah Celcius.

winter2014-1Menyedari kesengsaraan yang bakal mereka hadapi di musim sejuk ini, HALUAN melancarkan kempen Bantuan Musim Sejuk 2014 Untuk Gaza Dan Syria bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada pelarian dan penduduk terbabit. Kempen ini telah bermula sejak awal bulan lalu dan akan berterusan sehingga akhir bulan Februari 2015.

Sepertimana musim sejuk lalu, HALUAN memikul amanah masyarakat Malaysia untuk menyampaikan bantuan khususnya di kawasan berikut:

  1. Kem-kem pelarian Syria di Gaziantep, Antakya dan Kilis di sempadan Turki.
  2. Kem pelarian Syria dan Palestin di Ein El-Helwah dan beberapa kem lain di sekitar Lubnan.
  3. Kem Pelarian Syria Zaatari, Kem Pelarian Azraq & penempatan sementara pelarian Syria Karamah di sempadan Jordan.
  4. Kem pelarian dan kawasan terkepung di Syria, termasuk Ghouta Timur, Qudsayya, Daraa, Darya dan Moadamyeh di Damaskus.
  5. Wilayah Gaza terutamanya di sekitar Rafah dan Gaza City.

Pasukan relawan ke sempadan Jordan telah berlepas pada 23 November lalu bersama wakil siswa Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang turut bersama menjayakan kempen ini. Mereka berkerjasama dengan NGO tempatan iaitu Islamic Charity Center Society (ICCS) dan Jordan Hashimite Charity Organisation (JHCO). Mereka juga akan dibantu oleh relawan Kelab Siswa HALUAN di Jordan.

Satu pasukan lagi akan ke sempadan Turki dan Lubnan akan berlepas pada 7 Disember ini. Di Turki, relawan HALUAN akan bekerjasama dengan NGO Turki iaitu IHH Humanitarian Relief Foundation. Manakala agihan bantuan di Lubnan akan dibuat dengan kerjasama NGO Al-Sarraa Foundation.

Bantuan di kawasan yang tidak dapat dimasuki kerana kancah peperangan akan disalurkan melalui kerjasama NGO tempatan. Di Syria, NGO Al-Sarraa Foundation sudah pun mula menghantar bantuan kecemasan berbentuk kayu bakar dan susu bayi kepada mereka yang terkepung di Ghouta Timur serta kem-kem lain di sekitar kota Damaskus. Manakala untuk bantuan di Gaza, HALUAN akan bekerjasama dengan Al-Sarra Foundation, sepertimana lazimnya dalam musim sejuk dan bencana banjir akhir tahun lalu.

winter2014-4Al-Sarraa Foundation adalah sebuah NGO yang ditubuhkan oleh aktivis Robitah Ulamak Palestin dan beroperasi di Palestin, Syria, Lubnan dan Turki.

Bentuk bantuan yang disampaikan termasuklah pakaian sejuk, selimut, tilam, alat pemanas dan bantuan mendapatkan tempat tinggal yang sesuai. Keperluan asas lain yang akan diagihkan adalan bekalan susu bayi, paket makanan, air bersih, ubat-ubatan dan juga kayu api. Sebuah gudang memproses dan mengasih kayu api telah disediakan di Ghouta Timur di pinggir kota Damaskus.

Pelbagai program telah dirancang untuk mengumpul sumbangan dana serta menjalin kerjasama masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan ini. Antaranya, HALUAN akan menggencarkan program taklimat, ceramah dan pameran kesedaran dan program-program amal bersama masyarakat awam. Kerjasama dengan badan-badan korporat juga disusun bagi menaja barangan bantuan serta sara hidup keluarga yatim.

Masyarakat prihatin boleh berhubung dengan pihak sekretariat kempen ini untuk mengatur kerjasama program kesedaran berbentuk kuliah, ceramah kesedaran ataupun pameran di samping menghulur bantuan melalui talian 03 5166 0599 (pejabat operasi) atau 012 954 7861 (hotline).

Bantuan ikhlas anda boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
Maybank Berhad : 5622-6350-2611

atau,

Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2.

Semoga semua usaha bantuan anda mendapat balasan terbaik dari Allah SWT. Diharapkan kempen ini dapat meningkatkan lagi sikap keprihatinan masyarakat Malaysia dalam membela mereka yang memerlukan seterusnya membina generasi yang sentiasa memperjuangkan kesejahteraan dan keamanan sejagat.

winter2014-3

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts