HALUAN Palestin atau Biro HALUAN Palestin adalah satu biro di dalam HALUAN yang memberi fokus khusus kepada isu dan permasalahan berkaitan Palestin.
Penglibatan HALUAN secara berstruktur dalam isu Palestin bermula sejak 2007, dengan mengadakan latihan serta program kesedaran secara aktif kepada ahli dan aktivis kemanusiaan. Pasukan misi bantuan pertama ke Palestin telah dihantar pada tahun 2009, sejurus selepas tamat serangan Ma’rekat al-Furqan. Pelbagai projek kemanusiaan telah berjaya dilaksanakan, dengan memberi fokus utama dalam sektor pendidikan, kesihatan dan memenuhi keperluan asas pelarian.
HALUAN menyalurkan sumbangan dana yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia dengan melaksanakan projek-projek bantuan jangka panjang dan kecemasan.
Objektif
Membangkitkan keprihatinan dan semangat rakyat Malaysia agar turut bersama dalam membantu perjuangan bangsa Palestin berhadapan dengan kejahatan Zionis dan seterusnya meraih kemerdekaan, khususnya dalam hal menjaga kesucian Masjid Al-Aqsa.
Peranan
Program ini melibatkan bantuan kos sara hidup, melibatkan kos bagi 30 pelajar perubatan Palestin yang menuntut di beberapa universiti di Sudan. Yuran pengajian mereka ditaja oleh kerajaan Sudan.
Setiap pelajar memerlukan RM500 sebulan untuk menampung kos penginapan, makanan, pengangkutan dan peralatan.
Projek ini telah berjalan sejak tahun 2012. Setelah tamat pengajian, bakal-bakal doktor perubatan ini akan pulang berkhidmat di seluruh wilayah Palestin termasuk kota al-Quds dan Gaza. Bantuan kepada setiap pelajar yang tamat pengajian akan diganti untuk pelajar lain yang memerlukan.
Tempat-tempat pengajian mereka adalah:
Program Dapur Rahmah yang berjalan sejak 2019 bertujuan untuk menyediakan sarapan pagi kepada 200 keluarga miskin di Gaza setiap hari. Bantuan ini sangat penting memandangkan 86 peratus kanak-kanak Gaza di bawah usia 5 tahun, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran sempadan, tidak mendapat diet asas sekalipun pada kadar minimum.
Program ibadah korban di Gaza yang diadakan setiap tahun dapat membantu memeriahkan sambutan Aidil Adha dalam kalangan keluarga miskin.
Kempen Sejuta Barakah Ramadan merupakan kesinambungan program tahunan HALUAN mengumpul dana bantuan sepanjang bulan Ramadan. Lazimnya, HALUAN membawakan imam-imam hufaz dari Palestin, Syria, Somalia dan Kemboja untuk bersama masyarakat Malaysia mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti solat terawih, kuliah, kelas al-Quran, pameran dan seumpamanya.
Pada masa yang sama, program ini dapat memberi kefahaman kepada masyarakat Malaysia tentang realiti dan permasalahan sebenar di Palestin.
Manakala kempen 1M4BaitulMaqdis adalah inisiatif kempen kesedaran dan kutipan dana dengan motto Satu Makrifah, Satu Matlamat. Pada tahun 2020, antara pengisian yang telah dibuat termasuklah larian amal virtual, pertandingan fotografi Baitul Maqdis, pertandingan review buku Palestin, serta webinar.
Pada September 2020, HALUAN telah mengedarkan bantuan pek makanan asasi serta kit kebersihan dan sanitasi kepada keluarga-keluarga miskin. Set makanan siap dimakan (buah-buahan, biskut dan air) juga diagihkan ke[ada para petugas barisan hadapan daripada pasukan keselamatan dan kesihatan, melibatkan seramai 1,500 penerima manfaat.
Bermula 2020, HALUAN telah mula menaja 5 orang pelajar Palestin peringkat kedoktoran (PhD) dalam pelbagai bidang di university-universiti tempatan Malaysia: Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia. Tajaan melibatkan yuran pengajian dan bantuan sara hidup bulanan.
Bantuan pek makanan dan iftar kepada keluarga miskin di Gaza diadakan setiap bulan Ramadan. Program iftar atau agihan makanan berbukan juga diadakan di Masjid al-Aqsa. Agihan dilakukan dengan kerjasama para relawan Al-Sarraa Foundation di Gaza.
Program yang bermula pada tahun 2014 ini bertujuan membela anak yatim pelarian Palestin yang menjadi pelarian kali kedua setelah menyelamatkan diri dari peperangan di Syria dan menumpang hidup di Kem Pelarian Ein El-Hilweh, Lubnan.
Ia melibatkan saraan kos keperluan asas termasuk makanan, pakaian, pendidikan dan perubatan bagi 100 orang anak-anak. Kadar tajaan adalah sebanyak RM250 bagi setiap bulan untuk setiap orang anak yatim.
Program ini menyediakan sistem pendidikan al-Quran secara terancang kepada anak-anak Gaza bagi mengelak mereka terperangkap dalam serangan sosial Zionis, seperti penagihan dadah. Ia juga menjadi tempat untuk mempersiap anak-anak Gaza untuk tamat hafazan dalam kem hafazan yang diadakan setiap musim panas.
Dengan ini, halakah al-Quran diharap dapat memberi kefahaman sebenar al-Quran sebagai persedian anak-anak Gaza membebaskan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin.
HALUAN menaja 80 pelajar setiap musim di beberapa buah masjid terpilih di Gaza, dengan kadar RM60 sebulan bagi setiap orang.
Palestine Community Educare Centre (PCEC) terletak di kem Ein El-Hilweh, Lubnan. Ia merupakan projek pendidikan HALUAN jangka panjang di Lubnan. Pendanaan projek ini turut dibantu oleh Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd.
Projek pusat pendidikan yang dimulakan pada tahun 2019 ini dahulunya dikenali di kalangan komuniti pelarian kem sebagai markaz tahfiz Al-Quran HALUAN. Ia bermula dengan dua kelas al-Quran dan dan fardhu ain pada 2019. Kini ada empat buah kelas al-Quran dan fardhu ain, iaitu dua kelas kanak-kanak dan dua kelas remaja dan belia.
Di samping itu turut dijalankan kem jati diri dan sahsiah, kursus kemahiran kewanitaan dan ceramah kesedaran.
Seramai 122 kanak-kanak, belia dan wanita dewasa menerima manfaat secara langsung dari projek ini.
Akademi al-Quran dan as-Sunnah dibina di Jabaliya, utara Gaza, dengan kerjasama rakan-rakan NGO dari Indonesia iaitu Sahabat al-Aqsha dan Radio Rodja. Ia telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyeh, pada 4 Feb 2016. Akademi ini ditadbir urus oleh Darul Quran al-Karim dan as-Sunnah Gaza.
Akademi ini melahirkan para asatizah dan pemikir Islam yang bakal bertugas sebagai guru di masjid-masjid di sekitar Gaza. Selain memberi pendidikan, ia sekaligus menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan pekerjaan kepada penduduk Gaza yang miskin tetapi berkelayakan.
Pada upacara graduasi sulungnya, akademi in telah berjaya melahirkan 500 guru Al-Quran wanita yang berkelayakan.
Oleh kerana dana yang terhad, HALUAN kini hanya mampu menaja program-program pengajian secara khusus di sini, bagi bakal-bakal guru wanita.
Penduduk Gaza sekali lagi diserang oleh tentera Zionis. Serangan selama 11 hari sejak 10 Mei 2021 itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 230 orang dan mencederakan 1,700 yang lain. Kerosakan dan kemusnahan besar berlaku ke atas infrastrukur dan kemudahan awam termasuk bekalan air, serta rumah penduduk dan masjid. HALUAN mensasarkan sumbangan dalam bentuk ambulans, perubatan, makanan dan penginapan sementara.
Bantuan diperlukan untuk membantu mangsa kejahatan berterusan tentera Zionis dan pendatang Yahudi ke atas penduduk kota Baitul Maqdis khususnya di daerah Sheikh Jarrah, serta jemaah Masjid al-Aqsa. HALUAN menyalurkan bantuan sebuah ambulans dan peralatan perubatan secara kerjasama dengan NGO Indonesia, Sahabat al-Aqsha.
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) adalah sebuah NGO yang didaftarkan pada tahun 1989. Biro HALUAN Palestin memberi fokus kepada permasalahan Palestin melibatkan program kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia, projek bantuan kepada penduduk dan pelarian Palestin, serta kempen solidariti ke arah pembebasan bumi Palestin serta Masjid al-Aqsa yang penuh barakah.
Kenali Kami
Soalan Lazim
Hubungi Kami