Kisah Dari Gaza – Siri 1 : Kami Sentiasa Bersedia Menghadapi Serangan Yahudi

Sudah menjadi satu kelaziman bahawa mana-mana negara yang dilanda bencana perang, samada perang saudara mahupun penaklukan oleh kuasa luar, akan mengalami krisis kemiskinan, kelaparan, ketidak-tenteraman sosial dan juga sekatan yang akan menghalang sebarang kegiatan perniagaan mahupun bertani.

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saat ini saya berada di tengah-tengah kehidupan bersama rakyat di Jalur Gaza di mana tanah kelahiran mereka dipenjara oleh Zionis Yahudi, kehidupan harian mereka ditekan sehingga terlalu sukar untuk meneruskan pencarian sumber kehidupan seperti manusia lain; para petani tidak boleh mengusahakan ladang mereka, nelayan tidak boleh turun ke laut mencari ikan, peniaga tidak mampu berdagang, anak-anak tidak dapat meneruskan persekolahan dan pemuda-pemudi tidak mampu meneruskan pengajian tinggi dan tidak ada peluang pekerjaan untuk mereka.

Kelaparan, kemiskinan, keciciran pendidikan, pengangguran serta penyakit sosial akan sentiasa menjadi topik perhatian kepada siapa yang peduli dengan keadaan masyarakat seperti ini.

Gambar Hiasan – askar-askar Yahudi mengawal di Bandar Gaza, 1993.
Gambar Hiasan – askar-askar Yahudi mengawal di Bandar Gaza, 1993.

Pada suatu malam saya meluangkan waktu duduk berdiskusi bersama pemilik apartmen empat tingkat yang kami sewa di tingkat dua. Namanya Sheikh Jamaal Yousef Al-Kharazeen, seorang mudir di Madrasah Tsanawiyah Jabaliyah yang mempunyai lapan orang anak. Beliau bercerita tentang persiapan rakyat di sini menjelang datangnya peperangan, persiapan berkaitan dengan makan dan minum mereka sehari-hari. Sheikh Jamaal mula bercerita tentang kejadian pada tahun 1992-1993 yang di mana Yahudi melakukan penyerangan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin khususnya di Jalur Gaza.

Kisah-kisah yang diceritakan mula menarik saya untuk melontarkan beberapa pertanyaan; dari mana anda mendapatkan maklumat akan adanya penyerangan pihak Yahudi? Setelah mendengar berita akan adanya penyerangan, sebagai ketua keluarga apa yang anda lakukan? Persiapan yang bagaimana? Apa yang anda dan keluarga anda lakukan selama berlangsungnya peperangan? Ataukah ada keajaiban-keajaiban dari Allah saat perang berlangsung? Berbagai pertanyaan yang saya lontarkan.

Dengan raut wajah yang penuh ketenangan, Sheikh Jamaal menjawab persoalan tadi satu-persatu. “Kami diberi maklumat serangan Yahudi dari berbagai sumber; media cetak dan elektronik di sini, juga dari keluarga-keluarga kami dan sabahat karib dan perkhabaran dari masyarakat umum. Makluman akan adanya penyerangan dari pihak Yahudi biasanya disiarkan di televisyen tempatan, tetapi jika informasi tersebut datangnya dari media elektronik dan media cetak biasanya hanya bersifat samar dan tidak disebutkan tarikh dan waktu serangan, kerana kita tahu bahawa sebenarnya tidak semua media mempunyai otoriti bagi menyiarkan berita mengenai keadaan rakyat Palestin khususnya kami di Jalur Gaza. Tetapi kami sangat bersukur kepada pihak media massa kerana keberadaan mereka dapat memberi gambaran bagi kami untuk mempersiapkan diri walaupun informasi tersebut bersifat samar,” cerita Sheikh Jamaal.

Biasanya, maklumat yang diperolehi dari keluarga terdekat, sahabat karib mahupun masyarakat awam boleh dikatakan 99% benar.

Gambar Hiasan – kereta kebal Yahudi memasuki wilayah Gaza, Januari 2009
Gambar Hiasan – kereta kebal Yahudi memasuki wilayah Gaza, Januari 2009

Setelah mendengar berita adanya serangan, apa yang anda lakukan? “Dari pengalaman lalu, saya sentiasa terfikir tentang kesukaran untuk mendapat bahan makanan, air minum dan lain-lain. Kalau sudah terjadi peperangan maka sebanyak manapun wang yang anda simpan sudah tentu tidak lagi berguna kerana semua kedai dan pasar menjadi lumpuh, tidak ada barang dagangan dan tidak ada orang di jalanan, ibarat sebuah kota yang mati. Siang mahupun malam suasana sentiasa tegang kerana kereta kebal dan kenderaan perang Yahudi dengan persenjataan yang lengkap akan lalu-lalang dan berjaga di sudut-sudut jalan,” jawab beliau.

Justeru, apa tindakan Sheikh Jamaal? Beliau membeli bahan makanan seperti gandum, minyak zaitun, buah kurma dan keperluan lain untuk anak-anak dan isterinya dengan stok untuk selama dua bulan. “Tentunya kami tidak tahu bila akan berakhirnya peperangan. Allahu ‘alam,” sambung beliau. Bahan bakar seperti gas dan petrol boleh kehabisan dalam tempoh kurang dari satu minggu kerana bekalan elektrik akan padam dan seluruh kawasan menjadi gelap.

Penulis (kanan) mendengar cerita-cerita pengalaman Sheikh Jamaal (kiri)
Penulis (kanan) mendengar cerita-cerita pengalaman Sheikh Jamaal (kiri)

“Pada saat itu kawasan ini menjadi seperti kota mati, bahkan di hadapan rumah saya terdapat sebuah tangki stainless steel muatan 1500 liter yang berisi air bersih sedia untuk diminum. Sebelumnya saya menjual air itu 1 sheqel untuk 10 liter. Saya membawa tangki itu masuk ke dalam rumah untuk dijadikan stok dan persiapan selama dua bulan, bahkan kurang dari dua bulan,” jelas beliau lagi.

Sepanjang tempoh peperangan, apa yang dilakukan penduduk Jalur Gaza? “Kami tidak dapat berbuat apa-apa, hanya tinggal di dalam rumah, menutup pintu rapat-rapat dan juga dikunci, bahkan kami tidak dapat keluar dari rumah kerana sepanjang jalan dipenuhi oleh tentera Yahudi dengan kereta kebal dan kendaraan yang lengkap dengan persenjataan, sedangkan di langit Gaza menjadi ruang penerbangan jet-jet F-16 pada setiap minit. Jika ada gerakan yang mencurigakan mereka akan terus meluncurkan bom dari jet-jet itu. Itulah yang berlaku sekitar tahun 1992-1993,” terang Sheikh Jamaal.

Ikuti siri seterusnya – Yahudi Mengurung Gaza Dari Dunia Luar

——————

Artikel ini ditulis oleh Abdillah Onim, Ketua MERC Indonesia di Jalur Gaza yang sedang membangunkan Rumah Sakit Indonesia di Beit Lahiya, Jabaliyah. Beliau kini sudah berumahtangga dengan seorang Hafizah anak jati Gaza dan mereka telah dikurniakan Allah seorang puteri. Semoga Allah memberkati keluarga Abdillah Onim dan membalas semua keihklasan mereka dengan Syurga yang mulia.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts