Kisah Dari Gaza – Siri 3 : Keajaiban Dan Pertolongan Allah

Menjawab persoalan saya tentang peristiwa-peristiwa ganjil yang pernah beliau lihat semasa berada di bawah serangan Yahudi, Sheikh Jamaal merasakan bahawa hal-hal di luar kebiasaan atau logik akal manusia adalah suatu yang tidak mungkin.

Tetapi, dengan izin Allah, perkara itu sentiasa berlaku. “Ketika perang, kereta-kereta kebal Yahudi melalui jalan raya yang berhadapan atau bersebelahan dengan rumah saya, setiap hari. Suatu ketika, tiba-tiba anak muda meletakkan batu yang sangat besar di tengah jalan. Selain batu mereka juga meletakkan paku supaya kenderaan-kenderaan Yahudi terperangkap.

Gambar hiasan - Askar Yahudi dalam latihan perang dalam bandar di selatan negara haram Israel
Gambar hiasan – Askar Yahudi dalam latihan perang dalam bandar di selatan negara haram Israel

Benar kejadiannya, ada bunyi bising konvoi kenderaan yang menekan brek secara tiba-tiba depan rumah saya dan melanggar batu tersebut. Sayapun bergegas mendekati tingkap dan menjengok dari tingkat empat rumah saya. Saya rasa sangat gelisah apabila tiba-tiba ada bunyi kuat tok, tok, tok, tok, tok… semakin kuat, seakan pintu besi di tingkat bawah dipecahkan,” cerita Sheikh Jamaal dengan teliti sekali.

Beliau menyambung, “Bunyi tersebut datang dari tingkat bawah apartmen ini. Benar sangkaan saya, ternyata yang menedang pintu itu adalah tentera Yahudi, seramai sekitar 15 orang. Mereka bergegas datang ke rumah saya sambil melaung tinggi “tutse…” dalam bahasa Ibrani yang bermaksud “keluar semua….” Kebetulan saya boleh berbahasa Ibrani.

Isteri dan anak-anak mula panik, malahan saya sendiri juga menjadi bingung. Hati kecil saya berkata mungkin hari ini adalah akhir hayat kami. Jika saya keluar dan menghampiri mereka, maka tamatlah riwayat kami. Tiba-tiba saya berubah fikiran, dengan niat nekad tetapi tetap yakin bahwa Allah punya kuasa segala-galanya “kullu nafsin dzaa ikatulmaut – setiap yang bernyawa akan mengalami kematian.“ Sambil mengucapkan tawakaltu alallah la haula wala qwata ila billah Allahu Akbar, Alhamdulillah panik saya berkurang.”

Sheikh Jamaal bergegas dan membuka pintu. “Tidak tahu kenapa, tanpa ada rasa takut saya terus melontarkan kalimat berbahasa Ibrani dengan nada yang tinggi
ma tarud se – apa yang kamu mahu,
ataluu mavin anirut se lanuh? – apakah kamu tidak tahu kami sedang berehat?
Ata khasif bayt khat thisi fifa? – kamu fikir di kawasan ini hanya ada satu rumah saja?
Yesh misyo nimta afanim falakh li bayt shilo – mungkin orang yang tinggal jauh dari sini yang meletakkan benda itu.

Tentera Yahudi sudah bersedia untuk menembak jika saya keluar, akan tetapi mendengar suara saya, terus berdiri kaku dan tidak menjawab apa-apa sekalipun, bahkan terus beredar meninggalkan halaman rumah saya. Yang menghairankan, mereka pergi tanpa mengeluarkan sepatah perkataan sekalipun sedangkan ketika saya mengeluarkan kata-kata tadi, saya seakan-akan berhadapan dengan anak kecil yang sedang dimarahi bapanya.

Sambil menutup pintu rumah, saya berucap Allahu akbar, Alhamdulillah ternyata Allah mendengar dan mengabulkan doa saya,” cerita beliau.

Setelah begitu bersemangat menceritakan pengalaman beliau itu, Sheikh Jamaal bertanya, “Ya Abdallah! Anda tahu tidak? Setelah mereka pergi baru muncul ketakutan dan jantungku berdebar dengan sangat kencang!”

Gambar hiasan - Tentera Yahudi boleh memasuki mana-mana tempat atau rumah yang mereka suka, menangkap sesiapa sahaja yang mereka inginkan tanpa sebarang alasan mahupun surat kuasa
Gambar hiasan – Tentera Yahudi boleh memasuki mana-mana tempat atau rumah yang mereka suka, menangkap sesiapa sahaja yang mereka inginkan tanpa sebarang alasan mahupun surat kuasa

Pengalaman yang kedua yang menurut beliau merupakan keajaiban dan pertolongan Allah, berlaku beberapa hari setelah kejadian itu. Tiba-tiba anak perempuannya mengalami sakit yang pelik, panas tinggi, tidak boleh makan dan tiba-tiba badannya kurus dan pucat, sedangkan pada waktu itu mereka tidak boleh keluar. Kalau keluar maka akan ditembak oleh tentera Yahudi, tetapi dia harus ke hospital dengan segera. “Jika tidak ke hospital maka saya tidak tahu apa akan terjadi dengan anak saya itu. Dalam hati kecil, saya harus keluar rumah, terobos barisan tentera Yahudi. Di mana saja jika ajal menjemput, saya tetap akan mati. Saya tekad untuk keluar walau nyawa menjadi taruhan. Saya ambil wudhu, solat dua rakaat dan berdoa. Setelah itu saya dukung anak itu dan keluar rumah dengan pandangan lurus tanpa ke kanan mahupun ke kiri, menerobos barisan tentera Yahudi yang lengkap bersenjata. Ketika melalui barisan tentera Yahudi, mereka tidak mengeluarkan sepatah kata-kata pun, mereka tidak juga menahan saya. Tetapi saya tetap berzikir dan yakin bahwa Allah Maha Besar dari segala-galanya. Akhirnya saya sampai di hospital dan alhamdulillah anak saya tertolong kerana terus dirawat oleh seorang doktor pakar kanak-kanak di rumah Abdul Azis Rantisi di daerah An-Naseer,” beliau bercerita panjang.

Ikuti siri seterusnya (terakhir) – Burung Pembawa Berita Dan Anjing Pengesan Menjadi Bisu

——————

Artikel ini ditulis oleh Abdillah Onim, Ketua MERC Indonesia di Jalur Gaza yang sedang membangunkan Rumah Sakit Indonesia di Beit Lahiya, Jabaliyah. Beliau kini sudah berumahtangga dengan seorang Hafizah anak jati Gaza dan mereka telah dikurniakan Allah seorang puteri. Semoga Allah memberkati keluarga Abdillah Onim dan membalas semua keihklasan mereka dengan Syurga yang mulia.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts