Komplot Memusnahkan Al-Aqsa Bukan Lagi Teori Konspirasi

LONDON, 10 Nov 2015 (IE) — Rejim Zionis dan pendokongnya mendakwa bahawa kebangkitan yang sedang berlaku di Palestin adalah disebabkan oleh propaganda Islam. Propaganda ini telah membangkitkan penduduk Palestin dengan bersikap “membuat sesuatu tanpa berfikir, dengan cara yang sukar untuk diduga.”

Secara umumya, pemikir Barat dapat melihat kebangkitan ini dalam konteks yang lebih luas, terungkap dengan keadaan penduduk Palestin yang ditindas. Namun cara berfikir golongan Barat ini, yang dipelopori oleh ahli akademik dan jurnalis yang liberal, mempunyai suatu pandangan yang sama dengan rejim Zionis: mereka menganggap bahawa tuduhan rejim Zionis merancang untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa, dan kemudian membina kuil mereka di atas runtuhan dan perkarangannya itu, adalah suatu yang tidak berasas dan tidak relevan. Mereka melihat dakwaan ini sebagai satu alasan yang secara tidak sengaja mencetuskan kebangkitan rakyat Palestin.

Setelah melihat era penjajahan yang brutal selama hampir 70 tahun, kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami betapa mendalamnya rasa putus asa dan kemarahan yang dilalui oleh penduduk Palestin.

Bagaimanapun, dorongan untuk bertindak balas terhadap kezaliman ini tidak harus membuatkan kita melupakan perancangan Zionis terhadap Masjid Al-Aqsa. Begitu juga, kita tidak harus menerima sikap bimbang dunia Arab [Islam] dan bangsa Palestin sebagai suatu khayalan bangsa Timur yang tidak berpijak dalam realiti. Malah, semua itu boleh dibuktikan.

Oleh itu ianya adalah sangat penting untuk bertanya, samada anda seorang yang beragama atau seorang sekular: Adakah benar Masjid Al-Aqsa dalam bahaya?

Jika ya, persoalan itu bukan sahaja menjadi cabaran terhadap Islam bahkan juga akan memberi tanda-tanda sejauh mana projek penjajahan kolonial Zionis ini akan terus berlarutan.

Jenayah arkeologi

Polisi dan sikap Zionis dalam memusnahkan tapak-tapak yang terkait dengan Arab dan Islam bukanlah suatu yang rahsia lagi. Pada tahun 1967, mereka hancurkan kawasan suku Moroko di Kota Lama Al-Quds.

Ini merupakan mutiara senibina dalam peradaban Islam sejak kurun ke-12 lagi, yang menempatkan sebahagian daripada bahan sejarah penting Islam.

Apabila Zionis mula muncul di atas bumi Palestin, pemimpin mereka bukan sahaja cuba membeli tanah untuk tujuan penempatan Yahudi, tetapi juga cuba membeli kawasan apa yang mereka dakwa sebagai Jerusalem Yahudi.

Edmond Rothschild telah cuba untuk membeli kawasan tersebut di akhir kurun ke-19, begitu juga dengan pemimpin Zionis di bawah Mandat British – tetapi semuanya gagal. Apabila cubaan untuk membeli gagal, ianya diambil secara paksa melalui peperangan 1967, dan kemudian dihancurkan.

Pemusnahan tersebut, termasuklah perobohan masjid Sheikh Eid yang telah dibina oleh seorang anak Salahuddin Al-Ayubi, yang telah membebaskan Al-Quds dari kuasa tentera Salib.

Apabila mengetahui tentang perobohan itu beberapa tahun kemudian, Benjamin Kedar, seorang ahli sejarah dan naib presiden Akademi Sains Kebangsaan Israel mengisytharkan melalui akhbar Haaretz bahawa ianya “suatu jenayah arkeologi.”

Pemusnahan masjid tersebut bukanlah satu amalan yang baharu, bahkan tidak terhad kepada yang ada di al-Quds sahaja. Tentera Zionis tinggalkan hanya beberapa buah masjid dalam perkampungan dan bandar Palestin yang mereka musnahkan sepanjang kempen Nakhba – operasi penghapusan kaum pada tahun 1948. Pihak berkuasa Zionis kemudiannya menukarkan banyak masjid yang masih tinggal menjadi kelab-kelab malam, restoran dan juga kandang haiwan.

Geografi pemusnahan

Oleh itu, tidak ada monumen di Al-Quds mahupun masjid-masjid di Palestin yang kebal daripada polisi pemusnahan penjajah Zionis. Pemusnahan warisan Islam ini tertanam begitu mendalam dalam ingatan penduduk Palestin.

Penduduk Palestin juga sering melihat rejim Zionis memusnahkan bangunan menggunakan jentolak D-9 yang lengkap bersenjata, yang dibekalkan oleh sebuah syarikat Amerika, Caterpillar.

Bagaimanapun, bukan sahaja memori lama geografi pemusnahan ini yang menjadi kebimbangan orang ramai terhadap masa depan Masjid Al-Aqsa. Ianya adalah satu analisa yang realistik terhadap ideologi yang dianuti oleh sebahagian daripada kuasa politik yang kuat dalam pemerintahan rejim Zionis hari ini, yang mewakili pemerintahan Benyamin Netanyahu.

Yang paling penting, di antaranya, adalah berkembangnya pergerakan nasionalis agama. Dulunya mereka ini merupakan bilangan yang kecil, tetapi hari ini mereka menjadi sebahagian daripada kuasa pemerinatahan Zionis.

Sebagaimana yang didedahkan oleh akhbar Haaretz baru-baru ini, sebahagian daripada kurikulum sistem persekolahan Zionis [terdapat tiga sistem pendidikan dalam pemerintahan Zionis; satu untuk Yahudi sekular, satu membawa agama kebangsaan dan satu lagi sistem “Arab”] adalah satu program yang memperjuangkan rancangan pembinaan “Kuil Ketiga.”

Membina kuil adalah merupakan hasrat kemanusiaan keseluruhannya – begitulah kanak-kanak diajar. Sungguhpun program ini tidak mempunyai sebarang rujukan secara langsung terhadap usaha memusnahkan Masjid Al-Aqsa, para pelajar disuntik dengan ide bahawa mereka kini berada di ambang menebus semula bukit Haikal [perkarangan Masjid Al-Aqsa.]

Program ini disokong oleh Naftali Bennet, Menteri Pelajaran. Bersama rakannya Uri Ariel, Bennet adalah sebahagian daripada pemimpin parti Jewish Home, yang komited dengan perancangan untuk menggantikan Masjid Al-Aqsa dengan sebuah kuil Yahudi.

Susulan pilihanraya pada awal tahun ini, Ariel dilantik sebagai Menteri Pertanian. Ketika menjadi Menteri Perumahan sebelum ini, beliau menyeru secara khusus supaya dibina sebuah kuil baharu di atas Masjid Al-Aqsa. Dia bukanlah seorang ahli politik yang “kecil” atau terpinggir, begitu juga dengan partinya.

Pentadbiran rejim Zionis memberi sokongan kewangan dan keperluan lain kepada pertubuhan yang secara terbuka menyeru kepada perancangan yang sama. Antara pertubuhan yang paling penting bagi mereka adalah The Temple Institute, yang ditubuhkan oleh Rabbi Yisrael Ariel. Tujuan utama pertubuhan ini adalah “untuk melihat Israel membina semula Kuil Suci di atas Bukit Moriah di Jerusalem [perkarangan Masjid Al-Aqsa], sesuai dengan perintah di dalam Kitab.”

Tidak ada perkara yang tidak masuk akal, atau tidak dapat dibayangkan, dalam menganggap bahawa fanatik Zionis akan satu hari nanti melaksanakan perancangan mereka itu.

——

Diolah semula dari tulisan Ilan Pappe, seorang profesor sejarah dan pengarah Pusat Pengajian Palestin Eropah di Universiti Exeter, UK, yang diterbitkan di laman web Electronic Intifada.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts