Krisis gaji di Gaza semakin meruncing

Omer Abed diselubungi ketidaktentuan.

Pegawai perisikan Pihak Berkuasa Palestin (PA) itu menerima bayaran gajinya kali terakhir pada tiga bulan lalu. Kini beliau sangat bimbang kerana tidak ada sebarang petanda bila beliau akan menerima gaji seterusnya.

Omer menanggung enam orang anak – dua orang sedang belajar di universiti dan seorang bayi. Beliau tidak lagi dapat membayar sewa rumah tempat berteduh keluarganya.

“Saya tidak mampu mendapatkan susu dan lampin untuk bayi. Saya hampir menitiskan air mata selepas pergi ke bank untuk mendapatkan wang pendahuluan, dan mereka menolak permohonan,” cerita Abed kepada The Electronic Intifada.

PA tidak membayar penuh gaji para pegawainya di Tebing Barat dan Gaza sejak bulan Mei, atas alasan krisis ekonomi.

Di Gaza, pekerja PA hanya menerima satu-setengan-bulan gaji sejak bulan Mei.

Krisis ini merupakan sebahagian daripada kesan tindakan PA menolak hasil cukai yang dikutip oleh rejim Zionis. Tindakan tersebut sebagai membantah rancangan rejim penjajah mengilhak sebahagian daripada wilayah Tebing Barat.

Pada 19 Mei, Presiden Mahmoud Abbas mengumumkan bahwa PA tidak lagi terikat kepada perjanjian-perjanjian dengan rejim Zionis, termasuk persefahaman keselamatan dan ekonomi.

Selepas pengumuman tersebut, rejim Zionis meletakkan pemulihan semula kerjasama sebagai syarat serahan hasil cukai, yang lazimnya diserahkan secara otomatik. PA enggan bersetuju, atas dasar mematuhi pengumuman Abbas bagi menghentikan semua saluran perhubungan dengan rejim penjajah.

Hasil cukai merupakan sumber kewangan yang kritikal kepada PA, membentuk 60 peratus daripada keseluruhan bajetnya.

Kesan utama krisis ini adalah masalah pembayaran gaji pekerja awam. Bilangan pegawai keselamatan dan perkhidmatan awam di Tebing Barat dan gaza adalah sekitar 140,000 orang. Setiap mereka mempunyai tanggungan purata lima orang.

Di Gaza, kira-kira 38,000 orang bergantung kepada gaji daripada PA, berbanding 60,000 orang pada tahun 2017 apabila PA memaksa persaraan awal untuk mengimbangi bajet kewangan.

PA, yang didominasi oleh Fatah, dan Hamas bertelagah sejak tahun 2007 apabila Hamas menjatuhkan Fatah dalam pilihanraya di Gaza. Fatah tidak dapat akur dengan keputusan piliharaya parlimen 2006 yang dimenangi Hamas. PA bagaimanapun terus membayar gaji penjawat awam sehingga sektor tersebut diambil alih oleh Hamas.

Dengan sekatan rejim Zionis ke atas semua import dan ekspot dari Gaza sehingga membunuh ekonominya, bayaran gaji menjadi aliran tunai talian hayat bagi ekonomi Gaza.

Sekatan rejim Zionis menjadikan kehidupan di Gaza semakin terdesak. Kadar pengangguran dan kemiskinan mencapai lebih 50 peratus. Walaupun dipotong, bayaran gaji bukan sahaja menjadi kritikal kepada penjawat awam, bahkan juga sebagai penggerak aliran ekonomi.

Gaji yang diterima malahan tidak mengcukupi untuk membiayai keperluan bulanan, apatah lagi untuk membayar pinjaman bank yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Abed kini tidak mampu menanggung keperluan keluarganya. Sepanjang dua bulan lalu, dia terpaksa habiskan semua wang simpanan bagi menampung keperluan.

Kini dia terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan. Bagaimanapun, kedai-kedai mula berhenti memberi kemudahan kredit kepada pelanggan kerana mereka juga tersempit.

Bagi Abed, semua pilihan kelihatan seperti sudah tertutup.

“Kerana keputusan tiba-tiba dan tidak bertanggungjawab [oleh PA], pekerja menjadi peminta sedekah yang tidak bermaruah,” kata beliau.

Yang pasti, tidak ada sebarang penyelesaian yang dapat dilihat. Dalam kenyataan akhir bulan Jun, Kementerian Kewangan PA mengumumkan tiada sebarang perkembangan berhubung masalah pembayaran gaji.

Beberapa hari lalu Hussein al-Sheikh, seorang pegawai PA, meluahkan pihak media bahawa keputusan menolak bayaran cukai telah “meletakkan kami dalam krisis, tetapi kami tidak akan tunduk kepada ugutan.”

Jurnalis sektor perniagaan di Gaza, Muhammad Abu Jayab, memberitahu The Electronic Intifada bahawa pembayaran gaji adalah sangat kritikal di Gaza, dan penangguhan bayaran menjadikan ekonomi “lumpuh sepenuhnya”, menghapuskan kuasa membeli pegawai-pegawai PA dan akhirnya menjejaskan peniaga-peniaga kecil.

“Keadaan ini mencetus masalah kemanusiaan dan ekonomi kepada Gaza,” kata beliau.

Iman Mansour, seorang jururawat di Hospital Kanak-Kanak Rantisi, terpaksa melupakan kebanyakan daripada keperluan asas hariannya. Iman, 38, mendedahkan bahawa PA berjanji untuk membayar gaji penuh tanpa caj daripada pihak bank sebelum Hari Raya.

“Inilah yang berlaku dan kami berbelanja di bulan Ramadan dan Aidil Fitri,” jelas beliau. “Kemudian PA membuat kejutan dengan tidak membayar gaji pada bulan seterusnya.”

Kini, beliau sering tidak ada wang untuk membayar tambang ke tempat kerja.

“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam dari kawan-kawan atau adik-beradik,” kata jururawat itu, menegaskan beliau semakin tertekan untuk menyara tanggungannya.

“Saya ada seorang anak perempuan dan saya tinggal dengan ibu, dan rasa bertanggungjawab serta tertekan kerana tidak dapat memenuhi keperluan mereka, terutamanya ibu saya yang sakit dan perlukan rawatan.”

Iman mendesak PA mencari jalan untuk membayar sebahagian daripada gaji pekerjanya di Gaza. Sebagai seorang pekerja barisan hadapan, beliau amat sedih melihat keadannya berbanding dengan pekerja-pekerja di negara lain dalam menghadapi pandemik virus korona.

“Saya bekerja di sebalik bayangan pandemik dan mendedahkan diri kepada bahaya,” katanya. “Di negara-negara lain, mereka menggandakan gaji pekerja yang bertugas menangani virus. Di sini, gaji kami dipotong.”

(Tulisan asal Fedaa al-Qedra di The Electronic Intifada)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts