Kunjungan Pemuda Melayu Gaza Menyuntik Semangat Baru Membantu Palestin

KUANTAN, 18 Mac 2013 — Kunjungan mahabbah seorang anak Melayu yang menetap di Gaza sejak tahun 2009, Abdillah Onim, bersama isteri dan anaknya ke Malaysia telah meninggalkan kenangan dan pengalaman yang sangat menarik. Perkongsian pengalaman beliau sebagai relawan dan wartawan asing yang menetap di Gaza telah memberi banyak informasi serta pengajaran yang amat berguna di samping menyuntik semangat baru perjuangan membantu rakyat Palestin.

Abdillah yang juga merupakan wakil MediaHALUAN di Gaza merupakan satu-satunya petugas media dari Nusantara yang berkhidmat di Gaza. Berasal dari Galela di Maluku, Indonesia, beliau sanggup meninggalkan kampung halaman, keluarga dan pekerjaan sebagai seorang pegawai bank untuk merantau dan berjihad di bumi anbiya’ yang asing baginya, yang telah puluhan tahun berada dalam konflik kemanusiaan sejagat iaitu Gaza, Palestin. Beliau berkelulusan sarjana dalam bidang ekonomi dan perbankan syariah dari Universiti Muhamadiyah Prof. Dr. Hamka, Jakarta.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang muslimah Gaza, Rajaa’ Yusuf, yang berkelulusan sarjana dalam bidang pendidikan awal anak-anak dari Universiti Islam Gaza, yang juga seorang hafizah Al Quran. Mereka kini telah dikurniakan seorang puteri yang dinamakan Maroya Filindo, yang merupakan anak kacukan Melayu dan Palestin yang pertama lahir di Gaza.

Abdillah memiliki semangat dan jiwa yang kental dan sentiasa bersedia berkorban demi Palestin tercinta. Malahan beliau juga turut menjadi mangsa serangan tentera Zionis ke atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010, ditahan dalam penjara zionis sebelum dibebaskan pulang ke Indonesia. Tugasan sukarela beliau bersama relawan MER-C membina Rumah Sakit Indonesia di Beit Lahiya berhampiran sempadan negara haram zionis itu sudah cukup untuk menggambarkan kecekalan beliau. Pada masa yang sama beliau bertugas sebagai wartawan dan wakil media, yang sentiasa berada di tempat-tempat kejadian serangan tentera zionis yang turut mensasarkan wartawan dan media asing.

Sepanjang serangan tentera zionis ke atas Gaza selama lapan hari pada bulan November 2012, beliau keluar meninggalkan keluarganya di Jabaliya, sentiasa berada di medan serangan dan hospital-hospital bagi mendapatkan berita dan gambaran kekejaman zionis dan penderitaan rakyat Gaza yang diserang. Rakaman video dan foto yang begitu sadis telah dikongsikan oleh beliau dalam siri ceramah perkongsian pengalaman selama dua minggu berada di Malaysia.

Kunjungan beliau ke Kuantan, Pahang selama dua hari pada 17 dan 18 Mac telah dimanfaatkan sepenuhnya. Biro HALUAN Palestin Cawangan Pahang telah mengatur beberapa program perkongsian pengalaman dengan masyarakat di Kuantan. Antaranya ceramah ekslusif di Masjid Al Bukhori, Mahkota Aman dan Masjid Saidina Ali di Bukit Sekilau. Tidak ketinggalan perkongsian dengan pelajar-pelajar Marhalah Thalha Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pelajar serta warga pendidik Sekolah Rendah Ibnu Abbas, Kuantan.

Masyarakat yang mendengar ceramah dan tayangan video beliau sangat terpegun dan kagum dengan liputan ekslusif beliau. Beliau turut memberi dorongan agar rakyat Malaysia jangan sekali jemu untuk memberi sokongan dan dokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Beliau komited akan terus menyampaikan berita dari Gaza selaku wakil MediaHALUAN di sana dari semasa ke semasa.

Beliau dan isteri turut berpeluang mengunjungi Setiausaha Sulit Khas KDYMM Sultan Pahang, Lt Kol (B) Hj Nor Hashim Abd. Aziz untuk berkongsi pengalaman berharga beliau yang ditemani Ketua Biro HALUAN Palestin Cawangan Pahang, Encik Abd. Bashir Abd. Ghani. Di akhir pertemuan tersebut, satu sesi penyerahan cek sumbangan syarikat swasta ke Tabung Palestin HALUAN sebanyak RM25,000 telah diserahkan oleh Lt Kol (B) Hj Nor Hashim kepada isteri beliau bagi mewakili rakyat Palestin di Gaza.

Abdillah bersama isteri dan anaknya turut mengadakan pertemuan dengan wartawan media tempatan dari akhbar Sinar Harian dan New Straits Times (NST) untuk sesi perkongsian pengalaman dan tayangan video. Mereka turut dibawa melancung melihat keindahan air terjun di Sg Pandan, Kuantan – satu panorama alam yang tidak ada di Gaza.

Kunjungan dan perkongsian pengalaman beliau walaupun dalam tempoh yang singkat telah menyemarakkan lagi semangat relawan tempatan untuk membantu Palestin. Walaupun Palestin berterusan menderita kerana serangan, cengkaman dan sekatan oleh pihak zionis, namun di sebalik itu mereka kini sedang membina kekuatan dan telah terbukti mampu untuk memberi petaka kepada rejim zalim zionis itu melalui serangan roket pemuda Briged Al Qassam.

Rakyat Malaysia yang sayangkan saudara mereka di Palestin dan ingin turut berjuang membebaskan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin diseru untuk terus memberi sokongan dan sumbangan tanpa jemu. Anda boleh menyalurkan sumbangan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin melaluiTabung Palestin HALUANBIMB 14-023-01-003429-2 atau Maybank 5644 9020 8528.

——

Laporan MediaHALUAN Cawangan Pahang.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts