Laporan PBB: Israel Harus Tamatkan Sekatan ke Atas Gaza

Sebuah laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah
mengesahkan bahawa sekatan Israel ke atas tebing Gaza yang semakin
dibelenggu kemiskinan adalah salah di sisi undang-undang dan menuntut
ia ditamatkan secara serta-merta.

Hal ini diketengahkan dalam laporan ke-43 yang telah dikemukakan dalam
perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada sesi
ke-66 oleh jawatankuasa khas yang ditugaskan untuk menyiasat dan
melaporkan tentang pencorobohan Israel terhadap rakyat Palestin di
wilayah yang mereka duduki.

Laporan tersebut menerangkan dengan panjang lebar sekatan yang
dikenakan oleh Israel ke atas Gaza dan kesan-kesannya ke atas
pendidikan, kesihatan, perumahan, pekerjaan, dan pertumbuhan sejagat.

Ia mengutuk tindakan Israel terhadap Gaza sebagai hukuman
besar-besaran terhadap orang awam, dan melanggar undang-undang
kemanusiaan antarabangsa, disamping menambah bahawa Israel juga
melanggar kewajipannya dalam undang-undang antarabangsa hak asasi
manusia.

Jawatankuasa itu mendesak Israel untuk menamatkan sekatan yang
menyalahi undang-undang ke atas Gaza tersebut dan memastikan kemasukan
makanan, ubat-ubatan dan lain-lain keperluan penting yang tetap dan
mencukupi sejajar dengan resolusi 1860 yang telah dikeluarkan oleh
majlis keselamatan PBB pada tahun 2009.

Jawatankuasa itu juga menggesa Israel untuk menamatkan sekatan ke atas
aktiviti perikanan dalam perairan wilayah Gaza dan membenarkan nelayan
Palestin untuk belayar sejauh 20 batu nautika di laut mengikut
Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada tahun 1994.

Jawatankuasa tersebut mengesyorkan di dalam laporannya supaya majlis
keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB mempertimbangkan untuk
mengenakan sekatan terhadap kerajaan Israel sekiranya negara itu tetap
bertegas menolak untuk bekerjasama dengan badan-badan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menghormati resolusi mereka.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts