Punca kematian Arafat akan didedah

Ramallah, 10 Nov – Seorang anak saudara lelaki kepada mendiang Yasser Arafat bernama Naser al-Qudwa menyatakan bahawa keluarganya akan mendedahkan laporan perubatan dari Perancis tentang punca kematian bekas pemimpin Palestin itu dalam masa terdekat.

Menurut Al-Qudwa, laporan yang sedang diterjemahkan dari bahasa Perancis itu akan menjawab segala persoalan dan memberi jawapan sebenar tentang bagaimana Arafat meninggal dunia.

Laporan para doktor Perancis sebelum ini mendedahkan bahawa masalah platlet adalah punca kematian Arafat. Dalam keterangan beliau kepada agensi berita Ma’an, Al-Qudwa berkata para doktor juga telah merumuskan kanser dan jangkitan akut sebagai antara penyebab kematian. “Kemungkinan yang ketiga adalah akibat diracun,” jelas Al-Qudwa lagi. Tetapi rekod menunjukkan bahawa para doktor belum dapat membuat kesimpulan tentang jenis racun yang mungkin terdapat dalam badan Arafat.”Kami pernah mengatakan bahawa ia adalah disebabkan diracun,” kata Al-Qudwa.

Arafat meninggal dunia pada 11hb November 2004 di Paris. Rekod perubatannya dijaga dengan ketat, menyebabkan pelbagai spekulasi tentang punca sakit mendadaknya sebelum beliau meninggal dunia. Al-Qudwa sendiri sudah lama menuntut agar dijalankan pemeriksaan mendalam terhadap kematian bapa saudaranya itu. Beliau sendiri menduga kematian Arafat adalah kesan daripada diracun beberapa ketika dahulu.

Tiada sebarang maklumat yang jelas tentang bilakah terjemahan laporan itu akan disiarkan.

Sementara itu Al-Qudwa juga mengumumkan bahawa Institut Yasser Arafat akan menganjurkan sebuah majlis di Lubnan sempena memperingati ulang tahun kematian Arafat. Ini merupakan pertama kali majlis seumpamanya diadakan. Majlis peringatan itu juga akan diadakan di Tebing Barat.

———-

Disediakan oleh: OmerIshmael
Sumber: Ma’an News Agency

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts