Lebih 10 pelarian Palestin terbunuh dalam serangan di Damaskus

DAMASKUS, 17 Mei 2016 (EI) — Lebih 10 orang pelarian Palestin terbunuh dalam serangan ke atas kem pelarian Khan Eshieh di pinggir Damaskus sejak Isnin lalu.

Menurut laporan The Jafra Foundation, serangan meriam dan jet tentera Rusia ke atas kem tersebut dan kawasan sekitarnya pada hari Isnin lalu telah membunuh tiga pelarian. Manakala semalam, sebuah kereta dibom menyebabkan enam orang terbunuh, termasuk seorang bayi dan ibunya.

Seorang kanak-kanak perempuan mangsa pengeboman terpaksa dipotong tangan kerana hospital tunggal yang masih ada di Khan Eshieh tidak mempunyai ubat-ubatan dan peralatan untuk merawat.

Sungguhpun penduduk dan relawan diberi amaran supaya tidak keluar bangunan atau berkumpul secara beramai-ramai sekalipun untuk membantu mangsa, relawan The Jaffa Foundation tetap terpaksa keluar bertungkus lumus membantu urusan pengkebumian mangsa-mangsa.

Semua jalan keluar-masuk kem tersebut telah ditutup kerana penduduk sering menjadi sasaran serangan bom dan sniper. Jalan Zakia, iaitu laluan utama di antara kem Khan Eshieh dan Damaskus, ditutup sejak tahun 2013. Ramai penduduk yang terpaksa keluar ke bandar Zakia untuk mendapat bekalan, namun mereka menjadi mangsa tembakan.

Sebelum tercetusnya peperangan, seramai 20,000 pelarian Palestin tinggal di kem Khan Eshieh. Sehingga kini lebih 12,000 orang masih terperangkap dan bertahan di situ, termasuk 3,000 kanak-kanak dan 1,000 orang tua.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts