Lebih 2000 Penduduk Palestin Diculik Sejak 12 Julai

RAMALLAH, 28 Ogos 2014 (IMEMC) — Ketua Bahagian Perhubungan Awam di Kementerian Tahanan Palestin, Abdul-Nasser Ferwana mendedahkan bahawa tentera Zionis telah menculik lebih 2,000 penduduk Palestin sejak 12 Julai, selepas insiden penculikan dan pembunuhan tiga pendatang Yahudi di Hebron.

Ferwana mendakwa bahawa operasi penangkapan masih berterusan, di mana seramai kira-kira 30 orang penduduk Palestin dari berbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak menjadi mangsa setiap hari. Beliau yang juga merupakan seorang bekas tahanan rejim Zionis turut menjelaskan bahawa sebilangan besar tangkapan berlaku di Baitulmaqdis dan beberapa kawasan di Tebing Barat.

84.8% daripada tahanan berasal dari Tebing Barat, 9.5% dari Baitulmaqdis serta wilayah Jajahan 1948 dan 5.7% lagi dari Gaza, termasuk 22 orang yang diculik ketika serangan tentera darat Zionis ke atas Gaza beberapa minggu lalu.

Sehingga kini terdapat sekitar 7,000 penduduk Palestin dalam tahanan Zionis. Lebih 350 orang daripada mereka ditahan di bawah tahanan pentadbiran, iaitu tahanan tanpa sebarang pendakwaan mahupun pengadilan.

Manakala 60 orang daripada mereka merupakan tahanan yang ditangkap semula selepas dibebaskan dalam pertukaran dengan Shalit.

Rejim Zionis juga enggan membebaskan 30 tahanan lagi yang ditangkap sejak sebelum Perjanjian Oslo 1993, termasuk Karim Younis yang telah berada di dalam penjara sejak lebih 30 tahun yang sepatutnya dibebaskan bersama baki tahanan veteran yang lain pada akhir bulan Mac lalu.

Menurut kenyataan kementerian, tahanan politik dipenjara di 18 pusat tahanan dan interogasi terutamanya di Nafha, Ramon, Negev Detention Camp, Asqalan, Ofer, Be’er as-Sabe’, Hadarim, Majeddo, Ramla, HaSharon, Damoun, dan Galboa’.

Berikut adalah butir lanjut yang diterbitkan oleh kementerian:

  1. 477 tahanan menjalani hukuman seumur hidup.
  2. 19 wanita Palestin berada dalam tahanan; tahanan paling lama adalah Lina Jarbouni, yang ditahan sejak lebih 12 tahun lalu.
  3. 250 kanak-kanak Palestin masih ditahan di penjara Zionis.
  4. 500 tahanan adalah di bawah Tahanan Pentadbiran, tanpa pendakwaan dan pengadilan untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
  5. Enam bekas menteri masih dipenjara.
  6. 36 ahli parlimen masih dipenjara.
  7. 1,500 tahanan mengalami masalah kesihatan dan berada dalam keadaan yang tenat termasuk penyakit kanser, masalah jantung dan lumpuh. 14 daripada mereka kekal dalam tahanan di Klinik Penjara Ramla dengan tidak mendapat kemudahan asas.
  8. 205 tahanan meninggal dunia di dalam penjara sejak 1967, akibat didera, tidak diberi rawatan dan juga ditembak oleh pegawai Zionis ketika ditangkap atau dalam tahanan.
  9. Puluhan tahanan meninggal dunia selepas dibebaskan akibat penyakit yang dihidapi ketika berada di dalam penjara dan tidak diberi rawatan yang diperlukan.
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts