Lebih 373 Ribu Kanak-Kanak Gaza Derita Tekanan Psikologi

traumaGAZA, 10 Feb 2015 (Friends of Al-Aqsa) — Kempen pembunuhan kejam dan penganiayaan fizikal tentera Zionis ke atas penduduk awam Gaza tidak berakhir setelah terhentinya serangan selama 51 hari pada musim panas tahun lalu. Serangan ganas itu meninggalkan lebih 373,000 kanak-kanak dalam keadaan takut dan terkejut, serta memerlukan bantuan ubat anti-psikotik yang kuat bagi menangani masalah tekanan trauma.

Sayed Bakr merupakan salah seorang daripada ribuan kanak-kanak Gaza yang mengalami masalah “kejutan serangan” atau “sakit saraf akibat peperangan.” Gejala kesakitan yang dialami oleh Sayed termasuklah serangan sawan apabila menangis, mengingau, ketakukan yang berterusan dan sering bersikap kasar.

Sayed berhadapan dengan masalah ini ekoran insiden serangan bom dari bot tentera laut Zionis di pantai Gaza, di mana empat kanak-kanak Ahed Bakr, Zakaria Bakr, Mohamed Bakr dan Ismael Bakr sedang bermain bola telah terkorban. Beliau merupakan salah seorang saudara kepada empat mangsa tersebut. Pembunuhan empat saudaranya itu menyebabkan beliau lumpuh ketakutan, suatu keadaan yang mungkin tidak akan dapat dipulihkan. Beliau tidak lagi dapat ke sekolah akibat masalah ini dan sentiasa dalam keadaan ketakutan apabila terdengar bunyi yang kuat.

Kita dapat mendengar berbagai cerita tentang kanak-kanak lain di Gaza yang mengalami masalah taruma yang teruk dan masih dicengkam kesan peperangan. Serangan yang berakhir pada 26 Ogos itu telah mengorbankan seramai 539 orang kanak-kanak dan mencederakan sekitar 3,000 lagi kanak-kanak lain. Namun, menurut PBB, kesan tekanan mental ke atas kanak-kanak Gaza juga tidak kurang buruknya, bahkan jauh lebih sukar untuk diukur. Menurut Hasan Zeyada, seorang pakar psikologi dari Program Kesihatan Mental Komuniti Gaza, sekitar 40% daripada kanak-kanak Gaza menderita trauma serangan.

Kini, lebih enam bulan setelah berakhirnya serangan, dua per tiga daripada penduduk Gaza tidak mendapat rawatan yang cukup kerana kos ubat yang tinggi, manakala bantuan ubatan luar tidak dapat dibawa masuk berikutan sekatan yang berterusan ke atas Gaza.

Muntaser Bakr, seorang lagi mangsa yang terselamat dalam serangan yang mengorbankan empat kanak-kanak di pantai itu, bukan sahaja mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan belakang, tetapi juga kesan psikologi yang dahsyat sehingga beliau pernah cuba untuk melompat terjun dari beranda rumah.

Sara Kudaih, 10 tahun, masih lagi dihantui oleh pengalaman menyaksikan kematian adiknya, Anas. Susulan daripada pengalaman tersebut, beliau sentiasa berada dalam keadaan takut, menyendiri dan enggan makan atau menyiapkan kerja sekolah, sedangkan beliau sebelumnya adalah seorang pelajar yang cemerlang.

B’Tselem, sebuah pertubuhan hak asasi, melaporkan bahawa ahli politik dan pemimpin tentera Zionis telah mencabuli undang-undang antarbangsa dengan melancarkan serangan ke atas penduduk awam secara berterusan walaupun setelah terbukti dengan jelas serangan tersebut mengorbankan ribuan penduduk awam. Serangan yang tidak mengenal moral ini bukan sahaja menyebabkan kematian, kecacatan fizikal dan kemusnahan infrastruktur penting, tetapi juga membawa kepada masalah psikologi yang parah yang tidak mungkin dapat diukur dengan bilangan atau statistik.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts