GAZA, 14 Apr 2019 — Lebih 400 tahanan Palestin memasuki hari ketujuh kempen mogok lapar besar-besaran “Al-Karama 2”, hari ini.

Bilangan peserta mogok lapar meningkat sejak 10 April, dan lebih ramai lagi akan menyertainya pada 17 April bersempena Hari Tawanan Palestin.

Isnin lalu, pihak penjara Zionis menolak tuntutan para tahanan, terutama berkaitan penggunaan telefon.

Para tahanan membuat empat tuntutan ke atas pihak penjara Zionis, salah satunya supaya membenarkan mereka berkomunikasi dengan keluarga melalui kemudahan telefon sebagaimana yang diberikan kepada penjenayah Yahudi.

Mereka turut menuntut pihak penjara membuang semua alat melintangi gelombang telefon yang dipasang dalam penjara, yang dipercayai mengakibatkan sakit barah. Pihak penjara juga didesak membenarkan keluarga tahanan, termasuk dari kalangan Hamas, melawat mereka.

Tuntutan akhir mereka adalah supaya dihentikan semua tindakan punitif dan diperbaiki keadaan tempat tahanan wanita, serta dihentikan polisi mengabaikan keperluan rawatan serta kurungan berseorangan.

(PIC)

SHARE