Lieberman Dakwa Al-Khalil Sebagai Sebuah Kota Yahudi

lieber-1AL-KHALIL, 15 Mac 2015 (Ma’an) — Menteri Luar rejim Zionis, Avigdor Lieberman, mencemari Masjid Ibrahimi dengan mengadakan lawatan ke masjid bersejarah itu bagi memancing undi pendatang dan pelampau Yahudi di hari-hari akhir pilihanraya.

Lawatan beliau ke lokasi hangat yang pernah mencatatkan insiden pembunuhan dan kezaliman tentera serta pendatang Yahudi ke atas penduduk Islam dianggap sebagai usaha beliau menghina status masjid itu serta cuba menimbulkan keadaan huru-hara. Gabenor Al-Khalil, Kamel Hamid, mengutuk lawatan tersebut dan menganggap lawatan itu sebagai tindakan sabotaj ke atas usaha mewujudkan kestabilan di kawasan tersebut.

Minggu lalu ketika mengadakan kempen pilihanraya di kota Herzliya, Lieberman turut membuat kenyataan menghasut dengan mencadangkan supaya penduduk Palestin yang tidak setia ke atas rejim Zionis harus dipenggal kepala mereka.

Kali ini dalam lawatannya ke Al-Khalil iaitu sebuah kota di Tebing Barat di mana beberapa ratus pendatang dan pelampau Yahudi merompak tanah penduduk Palestin yang menjadi majoriti besar komuniti asal di situ, Lieberman mendakwa bahawa Al-Khalil adalah sebuah kota Yahudi dan akan tetap dianggap seperti itu sampai bila-bila.

Sepanjang lawatan beliau, tentera Zionis dikerahkan di serata kota Al-Khalil dan di sekeliling Masjid Ibrahimi. Banyak jalan-jalan ditutup kepada penduduk Palestin. Seorang wanita Palestin dilaporkan diculik di sebuah sekatan tentera berdekatan masjid.

Pada tahun 1994, pelampau Yahudi telah membunuh 29 ahli jemaah Masjid Ibrahimi ketika mereka sedang sujud bersolat Subuh di bulan Ramadhan. Ratusan lagi penduduk Islam tercedera. Zionis mengambil kesempatan daripada tragedi tersebut untuk dijadikan alasan bagi mereka mengawal “keselamatan” di seluruh wilayah Al-Khalil.

Penempatan haram Yahudi semakin berkembang di sini dan mereka kini menyeru supaya wilayah di Tebing Barat itu dirampas dan dijadikan sebagai sebahagian daripada kawasan di bawah rejim Zionis.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts