Mahkamah Zionis arah Bab al-Rahma ditutup semula

BAITULMAQDIS, 17 Mac 2019 — Mahkamah majistret Zionis di kota Baitulmaqdis hari ini memutuskan untuk menutup semula dewan solat Bab al-Rahma, dan memberi tempoh selama 60 hari bagi Jabatan Wakaf Islam membuat rayuan.

Keputusan dibuat selepas polis Zionis memfailkan satu petisyen mendesak Bab al-Rahma dan dewan solatnya ditutup, kononnya atas alasan keselamatan.

Seluruh kawasan Masjid al-Aqsa serta semua binaan di dalamnya, termasuk tembok-tembok, adalah di bawah kuasa kerajaan Jordan. Rejim Zionis tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat sebarang keputusan berkaitannya.

Selasa lalu, polis Zionis menutup pintu-pintu Masjid al-Aqsa, termasuk Bab al-Rahma, dan menyerang para jemaah serta menghalau mereka keluar dari masjid selepas mendakwa bom Molotov dibaling ke stesen mereka sehingga menyebabkan kebakaran kecil. Masjid suci itu bagaimanapun dibuka semula pada hari Rabu.

Kumpulan-kumpulan pelampau Yahudi berulang-ulang kali menyatakan rancangan mereka untuk merampas kawasan Bab al-Rahma dan membina sebuah sinagog di situ, sebagai persediaan untuk merampas seluruh kawasan Masjid al-Aqsa.

Keputusan mahkamah itu bakal mencetus gelombang pencerobohan Yahudi ke atas tapak suci itu serta serangan ke atas para jemaah.

(PIC, Maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts