TEL AVIV, 8 Mei 2019 — Mahkamah Daerah Zionis di bandar Lod semalam membebaskan seorang pendatang Yahudi yang terlibat membunuh wanita Palestin, Aisha Mohammad al-Rabi, di utara Tebing Barat pada tahun lalu.

Pendatang Yahudi tersebut kini dikenakan tahanan dalam rumah di kediaman datuknya di Kfar Saba. Beliau adalah seorang pelajar berumur 16 tahun di sebuah institusi agama Yahudi di kawasan penempatan haram Rechelim.

Manakala empat lagi rakan beliau yang terlibat dalam serangan tersebut telah dibebaskan pada bulan Januari lalu.

Aisha, 48, adalah ibu kepada lapan orang anak. Beliau dibunuh ketika menaiki kenderaan bersama suami dan anak perempuannya yang berumur sembilan tahun. Segerombolan pendatang Yahudi membaling batu ke arah kenderaan yang dinaiki berdekatan sekatan Zaatara di Nablus pada 12 Oktober 2018. Suaminya cedera ringan dalam serangan tersebut.

Pada bulan Julai 2015, parlimen Zionis meluluskan undang-undang menjatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun ke atas seseorang yang didapati bersalah membaling batu ke arah kenderaan, sekiranya dapat dibuktikan ia bertujuan untuk mencederakan mangsa. Undang-undang tersebut juga membenarkan suspek dipenjara sehingga 10 tahun sekiranya tujuan serangan (untuk mencederakan) tidak dapat dibuktikan.

(Maan, IMEMC, PNN, MEMO)

SHARE