Mahkamah Zionis gugur tuduhan membunuh ke atas pengawal keselamatan Yahudi

BEIT LAHM, 27 Okt 2016 (Maan) — Sebuah mahkamah Zionis menggugurkan pertuduhan ke atas dua orang kontraktor pengawal keselamatan swasta Yahudi yang menembak mati dua beradik Maram Salih Hassan Abu Ismail, 23, dan adiknya Ibrahim Salih Hassan Taha, 16, di sekatan Qalandiya pada 27 April lalu, atas alasan tidak mempunyai bukti yang lengkap.

Kes mereka kini ditutup dan kedua-dua pembunuh itu bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan disiplin.

Dalam kejadian tersebut, Maram yang sedang hamil lima bulan dituduh membaling sebilah pisau dari jarak 20 meter ke arah pasukan tentera Zionis. Adiknya dikatakan cuba menarik dan menghalang Maram yang menuju ke arah tentera, dengan membawa sebilah pisau di dalam poketnya.

Pada hari mereka dibunuh, pegawai Zionis menuduh Maram memakai tali pinggang yang diikat dengan bahan letupan. Tetapi apabila tidak mempunyai bukti, bahkan tidak lojik kerana Maram sedang hamil, mereka berhenti daripada membuat tuduhan tersebut serta tidak menyebutnya dalam laporan kepada mahkamah tentera.

Bagaimanapun saksi mendakwa kedua-dua mangsa tidak menunjuk sebarang ancaman kepada pasukan tentera ketika dibunuh, bahkan mereka secara tidak sengaja memasuki ruangan pemeriksaan yang salah serta tidak memahami arahan tentera kepada mereka dalam bahasa Ibrani.

Seorang lagi saksi menuduh tentera Zionis secara sengaja meletakkan pisau di tempat kejadian.

Polis Zionis enggan menyiarkan rakaman kamera keselamatan ketika kejadian tersebut walaupun didesak oleh pihak keluarga mangsa dan media. Jenazah dua beradik itu ditahan selama lebih sebulan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts