Mahkamah Zionis tolak rayuan bebaskan jurnalis Muhammed al-Qeq

RAMALLAH, 28 Jan 2016 (MEE) — Mahkamah Tinggi penjajah Zionis semalam menolak petisyen yang diserahkan oleh sebuah NGO bagi merayu supaya jurnalis Mohammed Al-Qeq dibebaskan.

Menurut kenyataan peguam Ashraf Abu Sneineh, mahkamah menolak rayuan tersebut dan menangguhkan keputusan untuk membebaskan Mohammed. Pada masa yang sama mereka memutuskan untuk tetap menahan jurnalis tersebut di bawah tahanan administratif, dengan memantau kesihatan beliau setiap hari.

Ashraf menyebut, “Mahkamah ingin membuat keputusan berdasarkan kesihatan Mohammed, jelas sekali mereka membuat percaturan terhadap nyawa klien saya.”

Beliau kini ditahan di Hospital HaEmek di utara bandar Afula, di mana tujuh orang pengawal berkawal di dalam dan di luar bilik rawatannya. Isnin lalu, keluarganya memaklumkan bahawa Mohammed telah berkali-kali tidak sedarkan diri dan tidak mampu berkomunikasi.

Semalam, Mohammed memasuki hari ke-64 mogok lapar. Mohammed berasal dari al-Khalil dan tinggal di Ramallah, di mana beliau bekerja di stesen TV satelit Al-Majd. Beliau melancarkan mogok lapar sejak 24 November lalu, iaitu tiga hari selepas ditangkap di bawah tahanan pentadbiran, tanpa sebarang pendakwaan atau pengadilan dalam tempoh yang tidak tetap, atas tuduhan menghasut.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts