Memperingati 28 tahun peristiwa pembunuhan di Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 8 Okt 2018 — Pada hari Isnin 8 Oktober 1990 sebelum masuknya waktu solat Zohor, segerombolan pendatang Yahudi dari pertubuhan pelampau “Temple Mount” dan pergerakan “Eretz Yisrael Faithful” cuba meletakkan batu asas bagi membina Kuil Ketiga di atas tapak Masjid al-Aqsa.

Susulan insiden yang mencetus ketegangan tersebut, tentera penjajah Zionis melepaskan tembakan secara rambang ke arah para jemaah masjid, sekaligus membunuh 22 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain. Selain menyekat pergerakan ambulan yang cuba memberi bantuan, tentera Zionis turut menangkap 270 penduduk Palestin di tempat kejadian.

Sebelum terjadinya pembunuhan tersebut, tentera Zionis mengenakan sekatan di semua jalan-jalan menuju ke Masjid al-Aqsa, bagi menghalang kehadiran penduduk Palestin. Bagaimanapun, para jemaah berkumpul di tapak suci itu beberapa jam lebih awal, sebagai menyahut seruan daripada mereka yang telah berada di dalam masjid.

Tentera Zionis tetap berkawal di dataran masjid dan menghalang jenazah-jenazah serta mereka yang tercedera dibawa keluar, enam jam selepas bermulanya pembunuhan.

Beberapa sebelum pembunuhan, rejim Zionis menyebarkan kenyataan menyeru kaum Yahudi menyertai perarakan ke Masjid al-Aqsa sempena sambutan “Hari Takhta”. Kenyataan tersebut disusuli dengan seruan oleh pelampau Gershon Salmon supaya “orang Yahudi memperbaharui hubungan dalam mereka dengan Tanah Suci.”

Yahudi menutup Pintu al-Maghareba selepas kejadian tersebut, mendakwa bahawa kehadiran orang Islam di situ mengancam kehidupan orang Yahudi.

(IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts