Memperingati 47 tahun peristiwa pembakaran: Al-Aqsa kini dalam keadaan sangat bahaya

AL-QUDS, 21 Ogos 2016 (PIP) — Khatib Masjid Al-Aqsa Syeikh Ikrimah Sabri menceritakan bagaimana Allah mentakdirkan beliau menyaksikan peristiwa sedih kebakaran di Masjid al-Aqsa 47 tahun lalu.

Beliau tidak dapat melupakan saat-saat yang memilukan itu, menjadi saksi bagaimana api membakar Masjid al-Aqsa. Sheikh Sabri menegaskan, kebakaran yang menyentak hati itu masih berlaku sehingga hari ini, sekaligus memberi amaran bahawa masjid ketiga paling suci itu masih berada dalam bahaya.

Sheikh Sabri tinggal berdekatan dengan Masjid al-Aqsa, di mana beliau dapat mendengar laungan azan apabila api mula membakar. Tidak lama kemudian, ratusan orang berkejar dengan membawa air dan tanah serta berbagai alat sangat sederhana untuk memadam api. Sebahagian lagi bertakbir dan bertahlil, dan yang lainnya hanya mampu menangis.

Ketika itu, beliau menjadi mudir sekolah menengah al-Aqsa.

Setelah selesai menunaikan solat Subuh dan Dhuha, para jamaah pulang ke rumah masing-masing. Namun sekitar jam 6:45, Michael Denis Rohan menuju ke masjid dengan membawa beg yang berisi bahan letupan dan menuangkannya di beberapa sudut Musolla al-Qibli, hanya beberapa ketika sebelum api menghanguskan mimbar masjid.

Sekitar jam 7:00 pagi, para jamaah berkejar ke masjid dan membentuk rantaian manusia untuk memindah tanah dan air bagi memadam api. Api merebak dengan cepat di bahagian timur, bahagian atap lama yang dibuat dari kayu dan buluh. Manakala bumbung di bahagian barat dibuat dari simen.

Para jamaah terpaksa berusaha memadam api dengan tangan sehingga jam 12 tengahari kerana tentera Zionis menghalang kenderaan bomba yang berkejar dari beberapa bandar Tebing Barat seperti Al-Birah, Ramallah, Bet Jala, Bet Lahm, Bet Sahur dan al-Khalil. Setelah dibenarkan masuk, pasukan bomba meneruskan usaha memadam api sehingga jam 4 petang.

Pihak tentera Zionis mengelirukan pandangan awam dengan mendakwa kebakaran tersebut berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.

“Kami sangat sedih. Kalau dulu kami katakan al-Aqsa dalam bahaya, kini kami katakan al-Aqsa berada dalam keadaan sangat bahaya,” kata Sheikh Sabri.

“Pelampau Yahudi mendesak agar al-Aqsa dihancurkan dan dibina kuil di atas runtuhannya segera. Ketika ini, wajib hukumnya bagi seluruh kaum Muslimin dan Arab untuk melindungi Masjid al-Aqsa.”

Pihak Zionis berusaha menguasai al-Aqsa dengan menghalang penduduk Islam bersolat dan penjaganya masuk di dalamnya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts