Memperingati pembunuhan besar-besaran Deir Yassin

BAITULMAQDIS, 9 Apr 2018 — Pada hari ini 70 tahun lalu, sekitar 120 ahli pertubuhan militia bawah tanah Yahudi menyerbu perkampungan Arab Deir Yassin dan membunuh sehingga 250 penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Peristiwa di barat Baitulmaqdis pada 9 April 1948 itu merupakan salah satu pembunuhan paling kejam dalam sejarah konflik di Palestin, di mana mangsa-mangsa disembelih, dipotong anggota badan mereka serta dirogol, dan mereka yang terselamat diarak di sepanjang kawasan kejiranan Yahudi sebelum dibunuh.

Apa yang telah berlaku?

Pembunuh kejam itu berlaku di sebalik konflik yang menyusuli berakhirnya Mandat British di Palestin. Hanya beberapa bulan sebelumnya, pada bulan November 1947, PBB telah mencadangkan pembahagian Palestin kepada dua negara berasingan bagi Arab dan Yahudi, dengan Baitulmaqdis ditadbir oleh sebuah badan antarabangsa. Bangsa Arab menolak cadangan tersebut, menjadikan konflik semakin tegang.

Deir Yassin merupakan sebuah kawasan yang aman, dengan 400 orang penduduk, sehinggakan ia tidak terlibat dengan pertempuran sepertimana yang berlaku di tempat-tempat lain. Oleh kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Baitulmaqdis Barat, ia termasuk dalam Rancangan Pembahagian PBB bagi mewujudkan wilayah Baitulmaqdis yang bebas.

Pasukan bersenjata Yahudi yang memasuki Deir Yassin merupakan ahli-ahli dua kumpulan pelampau bawah tanah iaitu Irgun dan Lehi, yang juga dikenali sebagai Stern Gang. Kedua-dua kumpulan tersebut merupakan sayap kanan pergerakan Zionis.

Kumpulan Palmach, iaitu satu unit daripada pertubuhan pelampau Haganah yang terkait dengan ahli-ahli politik Yahudi berhaluan kiri, turut terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Mereka menyerang Deir Yassin bagi membersihkan Baitulmaqdis daripada penduduk Arab, di samping memberi amaran kepada penduduk-penduduk Palestin lain di kawasan sekitarnya.

Kumpulan militia tersebut bertemu untuk mendapat taklimat pada pagi hari sebelum berlakunya pembunuhan, dalam keadaan penuh keceriaan untuk bersiap sedia menyerang penduduk Palestin dan rumah-rumah mereka.

Mereka tiba di penjuru Deir Yassin pada jam 4:30 pagi, mengambil kedudukan masing-masing dan mula melepaskan tembakan. Mereka menjangka penduduk Palestin akan melarikan diri, namun penduduk enggan lari kerana menjangkakan ianya hanyalah satu operasi serbuan yang tidak bermaksud untuk membunuh dan menghalau mereka.

Kumpulan militan tersebut kemudian mara memasuki kawasan perkampungan, menembak mereka yang berada di jalanan dan membaling grenad ke dalam rumah-rumah, serta membunuh mereka yang berlindung di dalamnya. Kumpulan Irgun dan Lehi menggeledah masuk rumah-rumah dan mengusut mayat-mayat, merompak wang dan barang kemas daripada mereka yang terselamat, serta membakar mayat-mayat. Mereka turut merogol dan memotong anggota badan mangsa. Penduduk kampung yang terselamat diarak di kawasan kejiranan Yahudi di Baitulmaqdis Barat sebelum dibunuh.

Apa yang berlaku seterusnya?

Pihak jawatankuasa kecemasan Arab hanya mengetahui tentang serangan tersebut sekitar jam 9:00 pagi. Sungguhpun mereka merayu tentera British supaya melindungi penduduk, pihak berkuasa Mandat British enggan berhadapan dengan militia Yahudi. Komander tentera British di Palestin, Jeneral Sir Gordon MacMillan, menyatakan bahawa beliau hanya sanggup mengambil risiko ke atas nyawa tentera British demi kepentingan-kepentingan Britain.

Dua hari selepas peristiwa itu ketua Jawatankuasa Antarabangsa delegasi Palang Merah di Palestin, Jacques de Reynier, melawat Deir Yassin. Beliau menulis bahwa telah menyaksikan lebih 200 mayat. “Salah satu mayat adalah seorang wanita yang mungkin hamil lapan bulan, ditembak di bahagian perut di mana debu kesan tembakan di pakaiannya menunjukkan beliau ditembak dari dekat secara sengaja.”

Pada 14 April, Pembantu Inspektor-Jeneral Polis British Palestin, Richard Catling, telah bertemubual dengan seorang wanita yang terselamat dan mendapat perlindungan di bandar Silwan. Dalam laporannya, Catling merumuskan bahawa tidak syak lagi kumpulan-kumpulan Yahudi telah melakukan beberapa bentuk jenayah seksual ke atas penduduk Deir Yassin.

“Ramai pelajar sekolah perempuan dirogol dan kemudian disembelih. Wanita-wanita dewasa turut diperkosa. Badan seorang wanita muda telah dipotong menjadi dua bahagian. Ramai bayi disembelih dan dibunuh. Saya juga berjumpa dengan seorang wanita tua, yang mendakwa umurnya seratus empat tahun, dipukul teruk di bahagian kepalanya dengan pemegang senapang.”

Berita pembunuhan serta kemaraan pasukan militan menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk Palestin, menyebabkan ramai yang lari dari bandar-bandar dan perkampungan mereka. Dengan merebaknya berita kekejaman-kekejaman lain di Haifa dan Yaffa, kemarahan penduduk Arab semaking membara dan mendesak pemimpin mereka bertindak.

Pada 15 May 1948, iaitu sehari selepas berakhirnya Mandat British dan rejim Zionis mengisytiharkan “kemerdekaan” Israel, pasukan tentera Arab tiba dan bermulalah Perang Arab-Israel 1948.

Selepas tamat perang pada tahun 1949, kawasan kejiranan Yahudi Giyat Shaul Bat dibina di atas rentungan Deir Yassin, walaupun mendapat bantahan. Ada juga yang mencadangkan kawasan tersebut dibiarkan tidak berpenduduk. Hari ini, ia menjadi sebahagian daripada Har Nof, iaitu kawasan masyarakat Ortodoks Yahudi.

Walaupun dua kumpulan utama yang bertanggung jawab dalam pembunuhan tersebut dianggap sebagai pertubuhan haram pelampau miltia, kedua-dua pemimpin mereka iaitu Menachem Begin dari Irgun dan Yitzhak Shamir dari Stern Gang, kemudiannya dipilih menjadi Perdana Menteri Israel.

Hari ini, Israel dengan penuh kekebalan terus membunuh penduduk Palestin. Menjelang ketibaan hari ulang tahun ke-70 peristiwa Nakba bulan hadapan, kehidupan dan hak penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza terus diinjak-injak, dengan jutaan lagi penduduk Palestin di serata dunia dinafikan hak untuk kembali ke tanah air mereka.

Peristiwa pembunuhan Deir Yassin menjadi satu peringatan kepada kita tentang sikap tidak berperikemanusiaan dan kekejaman yang menjadi jantung kepada permasalahan penjajahan dan krisis pelarian.

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts