Menteri, Ahli Parlimen Zionis ceroboh masuk al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 8 Julai 2018 — Menteri dan Ahli Parlimen Zionis menceroboh masuk perkarangan Masjid al-Aqsa pagi tadi, dengan dikawal ketat oleh pasukan polis.

Insiden ini merupakan pencerobohan pertama kali seumpamanya, apabila pemimpin Zionis Benjamin Netanyahu membuat keputusan untuk menghapuskan larangan sejak tiga tahun lalu ke atas menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen Zionis memasuki tapak suci umat Islam itu.

Menteri Pertanian Zionis, Uri Ariel, merupakan menteri yang pertama menceroboh masuk pagi tadi, bersama gerombolan pendatang Yahudi. Dalam kenyataan beliau, Ariel menyebut, “Kami menyaksikan kemajuan yang ketara, dan siapa sahaja yang masuk ke sini tiga tahun lalu akan menghargainya. Syukur kita mempunyai menteri Dalam Negeri, Ketua Polis, dan pemimpin yang peduli dan memudahkan kunjungan kita ke Kuil [Kuil Sulaiman – gelaran mereka ke atas tapak al-Aqsa].”

Kata beliau lagi, “Raja Jordan mahupun Mahmoud Abbas tidak berkuasa membuat keputusan di sini. Israel adalah satu-satunya pembuat keputusan.” Ariel juga mendesak supaya kaum Yahudi dibenar melakukan ritual secara terbuka di atas tapak suci itu sepanjang tahun.

Selepas itu, Ahli Parlimen wanita Sharren Haskel dari parti Likud turut menceroboh masuk dengan gerombolan pendatang Yahudi yang lain.

(PIC, Maan, IMEMC, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts