Menteri Luar Turki Seru Siasatan Antarabangsa Ke Atas Serangan Berdarah Disegerakan

Bethlehem, 17 Jun – Kementerian Luar Turki hari Rabu (16/6) mengatakan pihaknya telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk menyiasat tindakan Israel melakukan serangan ke atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara, seperti yang dilaporkan oleh Associated Press (AP). Panel tersebut akan diketuai oleh Menteri Luar Turki dan Menteri Perundangan Turki. Mereka akan “menggunakan semua saluran nasional dan antarabangsa” dalam menjalankan siasatan kejadian serangan itu dan menyiapkan kertas laporan dasar untuk siasatan antarabangsa, dan jawatankuasa tersebut telah bertemu dua kali sejak ditubuhkan pada hari Isnin lalu, demikian AP melaporkan.

Hubungan Turki-Israel menjadi tegang ekoran serangan Israel ke atas armada bantuan kemanusian ke Gaza yang diketuai oleh NGO dari Turki. Konvoi tersebut melibatkan 6 buah kapal lain yang disertai lebih dari 700 aktivis kemanusiaan dari hampir 40 buah negara. Dalam serangan tersebut, 9 warga Turki terkorban. Israel telah melakukan serangan nekad tersebut di perairan antarabangsa pada 31 Mei lepas.

Pada Isnin kelmarin, Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglut berkata hubungan Turki dengan Israel akan terus terjejas jika negara itu menolak siasatan antarabangsa ke atas serangan berdarah di atas kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Israel juga dilaporkan telah membentuk sebuah suruhanjaya siasatan dalaman ke atas serangan itu dan melantik dua pemerhati antarabangsa.

Walaubagaimanapun Turki mengatakan Israel tidak memiliki kuasa untuk menetapkan suruhanjaya kebangsaan mereka sendiri untuk menyiasat jenayah yang dilakukan di perairan antarabangsa sebaliknya badan siasatan tersebut mestilah badan berkecuali, tidak boleh memihak, adil, telus dan berkredibiliti.”
“Kami amat mengutuk sikap Israel kerana mengabaikan usulan ini sehingga saat ini … Kita berharap bahawa komuniti antarabangsa, khususnya Amerika Syarikat, yang turut kehilangan warga negara sendiri dalam serangan itu, menyokong cadangan konstruktif oleh Setiausaha Agung PBB dan mengambil tindakan ke arah itu tanpa penangguhan.” (mnn)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts