Menteri Perang Zionis letak jawatan

BAITULMAQDIS, 14 Nov 2018 — Menteri Perang Zionis, Avigdor Lieberman, meletak jawatan tengahari semalam, sehari selepas gencatan senjata serangan Gaza.

Beliau mendakwa perletakan jawatan tersebut atas sebab keputusan rejim Zionis menyetujui gencatan senjata dan membenarkan Qatar menghantar bantuan ke Gaza. Lieberman menyifatkan gencatan senjata tersebut sebagai tindakan menyerah kepada “keganasan”.

Lieberman turut mendesak supaya pilihanraya umum diadakan lebih awal, sehingga mencetus jangkaan pembubaran parlimen Zionis, Knesset.

Dalam perkembangan berkaitan, parti HaBayit HaYehudi (Jewish Home) mengugut keluar dari pakatan pemerintahan sekiranya pemimpin mereka, Naftali Bennett, tidak dilantik menggantikan Lieberman. Bennett sedang menjawat Menteri Pendidikan Zionis.

Kumpulan-kumpulan pejuang Palestin menyifatkan perkembangan ini sebagai “kemenangan politik” kepada Gaza.

Selepas serangan tahun 2014, Lieberman yang ketika itu menjawat Menteri Luar Zionis mengumumkan partinya, Yisrael Beiteinu, keluar dari pakatan pemerintahan dengan parti Likud.

Lieberman dilahirkan di Chișinău, Moldova. Sebelum berpindah ke negara haram Zionis pada tahun 1978, beliau bekerja sebagai seorang kaki pukul di sebuah kelab malam.

Pada tahun 1999 ketika tinggal di kawasan penempatan haram Nokdim di Tebing Barat, beliau menjadi terkenal apabila memukul seorang kanak-kanak berumur 12 tahun dari Tekoa, selepas mangsa memukul anaknya. Tindakan beliau mendapat sokongan daripada pelampau-pelampau Yahudi. Beliau kemudian menjadi ahli parti pelampau nasionalis, Yisrael Beitenu.

Pada tahun 2012, beliau telah dijatuhkan bersalah dalam tuduhan rasuah dan pecah amanah.

(PIC, IMEMC, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts