Oleh Fikr Shaltoot
The Guardian
Isnin 29 Disember 2008

fpnew_Sebagai seorang pekerja perubatan, saya terpaksa memeriksa keperluan-keperluan di Hospital Shifa dan juga hospital-hospital lain di Gaza. Situasi di Shifa sangat teruk sekali. Mayat-mayat bergelimpangan di koridor, ditutup dengan selimut. Rumah mayat tidak boleh menampung mayat-mayat yang begitu banyak. Terdapat dua mayat diletakkan di atas strecer, satu telah dibungkus dengan selimut. Mereka dibiarkan di situ sehinggalah keluarga dapat mengenali mereka.

Terdapat ibu-ibu, bapa-bapa mencari anak-anak dan saudara mereka. Semua bingung dan memerlukan bantuan. Ibu-ibu menangis, orang ramai mencari-cari saudara mereka, pasukan perubatan juga bingung.

Beberapa orang hanya terduduk di situ, ada yang menjerit, ada yang sangat sangat marah. Mereka yang tercedera terus menerus tiba dengan ramainya, ambulan keluar dan masuk. Mereka juga dihantar dengan kereta persendirian, dan ditinggalkan di mana sahaja. Kelihatan darah di sana-sini.

Ada kedengaran berita serangan udara oleh tentera Israel telah mensasarkan pegawai polis dan pasukan keselamatan. Tapi di Shifa, saya perhatikan begitu ramai orang awam, sebahagiannya telah mati, sebahagian lagi tercedera, ada kanak-kanak, ada wanita, ada warga tua.

Di sana kelihatan orang-orang kehilangan kaki dalam kesakitan yang amat sangat. Doktor dan jururawat memberi mereka ubat penahan sakit and membantu mereka untuk terus bernafas. Mereka terbaring di situ, dan sedar bahawa mereka sudah kehilangan kaki. Ada yang berdoa supaya ALlah membiarkan mereka mati. Mereka berada dalam keadaan psikologi yang sangat dahsyat.

Doktor dan jururawat berusaha sedaya upaya mereka. Mereka memunggah semua pesakit dari wad pesakit teruk dan wad onkologi, supaya dapat menempatkan mereka yang tercedera. Mereka gunakan apa saja yang ada. Tidak ada kain kasa, jadi mereka gunakan kapas, yang nanti akan melekat di tempat-tempat luka. Mereka tidak dapat mensteril pakaian untuk kegunaan dalam bilik pembedahan. Mereka gunakan picagari yang tidak bersesuaian saiznya. Mereka bekerja 24 jam. Mereka merujuk kes-kes dari satu hospital ke hospital lain. Satu hospital telah kehabisan anaesthesia. Mereka juga memerlukan darah, dan tidak ada alkohol.

Ini satu bencana yang amat besar.

—————————
Fikr Shaltoot adalah seorang koordinator untuk program Medical Aid for
Palestinians, sebuah NGO Britain yang memberi bantuan perubatan di Gaza.

SHARE