Mesir menghalang bantuan ke Gaza

Arisy: Ketika satu setengah juta warga Gaza sangat memerlukan bantuan makanan dan perubatan, negara jirannya Mesir terus menghalangi bantuan kemanusiaan dari memasuki Gaza. Bahkan, Israel dilihat lebih ‘berperi-kemanusiaan’ daripada Mesir setelah memberi ‘kebenaran’ kepada sebahagian dari pasukan bantuan untuk masuk ke Gaza sebagai usaha mereka membaiki imej terorisnya kepada dunia.

Ketua Persatuan Perubatan Arab, Dr Baqat Barqani menyatakan, “Puluhan doktor yang dihantar ke Gaza memerlukan bantuan solidariti setelah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir di Arisy. Bekalan darah yang dihantar dari negara Arab juga rosak kerana tidak mempunyai kemudahan dan peralatan untuk menyimpan.

Dr Baqat menambah, “Mesir bertanggung jawab atas kerosakan ubat-ubatan, makanan dan darah yang hendak diberikan kepada mangsa-mangsa kekejaman Zionis Israel di Gaza. Darah yang merupakan derma dari warga Arab untuk membantu mangsa kekejaman ini sangat banyak sekali. Namun semuanya tersekat di gudang Mesir di Arisy hingga rosak.”

Bertan-tan makanan rosak kerana ditahan secara berterusan oleh pihak berkuasa Mesir dari memasuki Gaza, meskipun mereka tahu barangan bantuan itu rosak atau akan rosak. Menurut para aktivis solidariti Arab, barangan bantuan tersebut tidak ditempatkan dalam pusat simpanan khusus yang sesuai untuk mengelakkan dari kerosakan.

Mesir juga telah meminta aktivis solidariti segera meninggalkan Gaza atas alasan keselamatan nyawa mereka.

Penunjuk perasaan di Masjid Al-Saleem, Kaherah, protes penutupan pintu masuk ke Gaza akhir tahun 2008 lalu. Tulisan bermaksud "Tolong Gaza"
Penunjuk perasaan di Masjid Al-Saleem, Kaherah, protes penutupan pintu masuk ke Gaza akhir tahun 2008 lalu. Tulisan bermaksud "Tolong Gaza"

Manakala Jumaat lalu (6 Februari) seorang wakil Persatuan Pengacara Arab, Abdul Azim al-Maghribi, mengatakan Mesir sengaja membiarkan warga Gaza mati kerana kelaparan, sakit dan disiksa Zionis. Beliau menegaskan pemimpin Mesir tidak lagi menterjemahkan sikap rakyatnya sendiri dan rakyat Arab secara umum. Beliau berkata, “Sangat memalukan apabila Mesir menghalang masuknya bantuan ke Gaza melalui jalan sempadan.” Sedangkan Mesirlah yang telah menjadi orang tengah dalam persetujuan masalah perlintasan yang disepakati antara Israel, Palestin dan Kesatuan Eropah pada tahun 2005.

Memang sukar untuk kita menerima sikap Mesir yang tidak langsung menunjukkan sifat kemanusiaan dalam menangani permasalahan di Gaza. Apa lagi negara tersebut adalah merupakan sebuah negara Islam. Mungkin inilah yang difirmankan oleh Allah melalui Surah Al-Maidah ayat ke 51:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman setia; mereka itu satu sama lain saling melindungi. Barangsiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman setia, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sungguh, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”

Semoga Allah menjauhkan kita dari menjadi golongan yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran tersebut, yang tidak lagi mendapat petunjuk Allah sehinggakan tidak dapat menilai sesuatu dengan sifat kemanusiaan yang waras.

Kita sebagai manusia yang insaf kepada kematian seharusnya terus memberi sumbangan kepada siapa sahaja yang dianiaya. Rebutlah peluang membantu mereka, kerana Allah mengingatkan kita tentang kejadian yang bakal kita hadapi kelak melalui Surah Al-Munaafiqun ayat ke-10;
“Dan infaqkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu; lalu dia berkata (menyesali), ‘Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedeqah dan aku termasuk orang-orang yang soleh.'”

Setiap sumbangan ikhlas kita, tidak kira sekecil mana sekalipun, insyaAllah akan mengelak kita dari menyesal bilamana saat kematian tersebut menjemput kita nanti. Sedangkan ketika itu tidak berguna lagi sebarang penyesalan mahupun rayuan. Sama-sama kita beramal sebelum terlewat!

InsyaAllah HALUAN akan tetap menghantar pasukan relawan dan bantuan kepada warga Palestin samada mangsa-mangsa serangan di Gaza mahupun mereka yang telah sekian lama menderita di kem-kem pelarian di seluruh Palestin dan beberapa negara jiran. Bantuan menerusi Sekretariat HALUAN Palestin boleh disalurkan melalui:

Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun: 14-023-01-003429-2
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts