Mufti Palestin Dikasari Zionis

husseinTEBING BARAT, 9 Mei 2013 – HALUAN Palestin mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan polis Israel yang telah menahan ulama merangkap Mufti Palestin di Jerusalem, Sheikh Mohammad Hussein pada Rabu, 8 Mei lalu. Kediaman beliau diserbu pihak zionis. Para pemimpin Palestin dan Jordan turut mengutuk tindakan penangkapan Sheikh Mohammad Hussein tersebut.

Syeikh Mohammad Hussein telah di tahan dan disoal siasat oleh polis khas Israel selama enam jam sebelum dibebaskan tanpa dakwaan kerana disyaki terlibat dalam “rusuhan” di kompleks Masjid Al Aqsa di bandar suci itu, kata seorang jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld.

“Beberapa kerusi dilemparkan ke sekelompok orang Yahudi di Temple Mount atau Al-Haram Al-Sharif oleh kaum Muslim, dakwa Rosenfeld kepada AFP tentang insiden sehari sebelumnya.

Hakikatnya, tindakan itu tercetus kerana tindakan penceroboh Israel yang telah membina kuil mereka yang menghadap tembok barat masjid al-Aqsa secara haram.

Sheikh Mohammad Hussein selepas dibebaskan menceritakan bahawa “Mereka membawa saya dari rumah pada jam 8.00pagi, dan menuduh saya melakukan hasutan. Saya tidak menghasut. Saya melindungi Masjid al-Aqsa, dan itu adalah kerja asasi saya.”

Sheikh Mohammad Hussein, yang memegang jawatan itu sejak 2006, berkata itulah kali pertama pihak berkuasa zionis Israel menahan dan menyoal siasat beliau. Sejak tahun 1967, sekurang-kurangnya seorang mufti sebelumnya telah ditahan oleh polis Israel, katanya.

Penahanan Mohammed Hussein ini tepat dilakukan pada saat perayaan Hari Jerusalem yang menjadi peristiwa memperingati bandar tersebut setelah Israel berhasil merampas wilayah tersebut daripada Jordan pada tahun 1967 dalam Perang Enam Hari. Hingga saat ini, Israel telah menduduki dan merampas wilayah yang dihuni etnik Arab tersebut, walaupun dunia antarabangsa tidak mengiktirafnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Jordan, Abdullah Ensour memberitahu di Parlimen bahawa Amman akan menyampaikan pendiriannya melalui dutanya di Tel Aviv akan penolakan kerajaan Jordan terhadap tindakan tentera Israel dan penceroboh haram Israel yang berulang-ulang ke atas masjid al-Aqsa dan merosakan kesucian masjid tersebut.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts