Nakba bukan sekadar untuk diperingati

https://www.youtube.com/watch?v=b53IyyvLK6M

Enam puluh sembilan tahun lalu, negara haram “Israel” telah diisytiharkan berikutan kejayaan tentera dan pengganas Zionis menghalau ratusan ribu penduduk Palestin dari tanah air mereka.

Apa yang telah berlaku?
Pada 14 Mei 1948, ketua eksekutif Pertubuhan Zionis Sedunia, David Ben-Gurion, mengisytiharkan penubuhan “Negara Israel”. Penduduk negara haram itu menyambut pengisytiharan tersebut sebagai “Hari Kemerdekaan” mereka. Sejak itu juga, 15 Mei terus diperingati oleh masyarakat dunia sebagai Hari Nakba.

Hari Nakba memperingati tindakan tentera Zionis menghalau dan memaksa lebih 750,000 orang, iaitu separuh daripada keseluruhan penduduk Palestin ketika itu, keluar meninggalkan rumah mereka dan menumpang berteduh di kem-kem pelarian. Peristiwa hitam ini menjadi krisis pelarian dunia yang paling lama di era moden.

Selain daripada menghalau penduduk asalnya keluar, tentera Zionis juga memusnahkan lebih 600 buah perkampungan dan bandar bagi memastikan mereka yang dihalau itu tidak akan dapat pulang buat selama-lamanya. Di atas tanah itu, mereka bina penempatan dan bandar Yahudi, menggunakan nama-nama Ibrani, sehingga hilanglah geografi dan identiti asalnya.

Bagaimana seterusnya?
Lebih setengah juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal. Sebahagian daripada mereka hidup menderita di bawah pemerintahan dan diskriminasi penjajah Zionis. Mereka dihalang pulang ke rumah mereka walaupun pemerintahan tentera telah dimansuhkan 20 tahun kemudiannya.

Sebahagian besar lagi dipaksa menuju ke Gaza, Tebing Barat dan negara-negara jiran. Mereka tinggal di dalam kemah selama bertahun-tahun atas bantuan masyarakat antarabangsa. Untuk “membantu” mangsa-mangsa rejim Zionis ini, PBB telah menubuhkan United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA).

bagi memudahkan pengurusan bantuan kemanusiaan. PBB juga meluluskan Resolusi 194 yang mendesak “Israel” supaya membenarkan pelarian ini pulang ke rumah mereka, di samping membayar pampasan atas kehilangan yang mereka tanggung. Rejim Zionis tidak pernah memedulikan resolusi tersebut.

Selama 70 tahun peristiwa Nakba berlalu, warga Palestin melalui pusingan penindasan demi penindasan. Hingga kini mereka masih tidak mempunyai negara sendiri. Manakala ratuan ribu orang terpaksa menumpang di kem-kem pelarian yang seakan menjadi rumah kekal mereka, yang semakin padat setelah keluarga mereka berkembang besar.

Perjuangan hingga kemenangan
Dakwah kepada masyarakat Palestin supaya tetap teguh dalam kebaikan, perjuangan menentang penjajahan dan membebaskan bumi mereka menjadi slogan utama Hamas, sebagaimana disebut dalam perutusan mereka sempena memperingati peristiwa Nakba.

Dalam kenyataan mereka, Hamas menggariskan beberapa perkara utama yang memungkinkan pembebasan tanah air mereka dan Masjid al-Aqsa. Hamas mengulangi prinsipnya bahawa hak penduduk Palestin tidak akan dapat dihancurkan, mereka tidak akan menggadai walaupun satu inci daripada tanah air mereka, dan hak mereka untuk kembali tidak akan luput.

Perjuangan, khususnya perjuangan bersenjata, adalah langkah sebenar menghadapi penjajahan. Apa yang diambil secara kekerasan hanya boleh dibebaskan semula dengan kekerasan. Mereka diserang hanya kerana menentang penjajahan ke atas tanah air. Kesatuan dan kerjasama seluruh masyarakat Palestin adalah kunci kepada kejayaan. Oleh itu, golongan yang bersekongkol dengan penjajahan atau menentang perjuangan pembebasan tidak harus mewakili hak Palestin.

Dengan kesatuan dan kekuatan roh, suatu hari nanti semua tahanan akan bebas dan seluruh warga Palestin akan kembali ke tanah air dalam keadaan merdeka dan penuh kemuliaan. Insha Allah.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts