Pada 8, 9 dan 10hb, para petani di Khuza’a menuai gandum mereka. Khuza’a adalah sebuah perkampungan pertanian berdekatan sempadan Israel di selatan Gaza, dalam daerah Khan Younis. Selama 3 hari mereka pergi ke ladang, bergerak dari awal pagi dan memetik buah-buahan dari ladang mereka. Selama 3 hari itu juga tentera Israel menembak dari menara kawalan ketika para petani sedang menuai hasil. Namun, para petani ini tidak akan sekali-kali membiarkan tentera pengganas itu menjadi halangan bagi mereka memasuki ladang milik mereka.

Kawasan di mana para petani bersama-sama 3 orang aktivis International Solidarity Movement (ISM) dan 5 orang lagi akvitis berbangsa Palestin itu berada adalah dalam jarak sekitar 450 meter dari sempadan. Sebelum berlakunya Intifadah Kedua, ladang ini ditanam dengan pokok tembikai, pokok zaitun dan pokok buahan lain. “(Ketika itu) kami datang ke sini untuk berbabeque, berkumpul dan berehat… jip-jip Israel sering melalui kawasan ini, tidak jauh dari kami, tetapi mereka tidak pedulikan kami, mereka biarkan kami dengan aman,” kata Akhmad. Tetapi hari ini, pokok-pokok telah dicabut, tanaman dihancurkan. Satu-satunya pokok yang boleh ditanam, kerana tidak memerlukan penjagaan yang berterusan, adalah gandum. Masalahnya, gandum memerlukan beberapa jam untuk dituai, dan penembak tepat Israel akan berseronok mengganas ke atas para petani sepanjang waktu menuai itu.

Pada 8hb Mei, para aktivis berkunjung ke ladang bersama-sama seramai 8 orang petani dari keluarga An Najjar yang kebanyakannya wanita, termasuk seorang kanak-kanak berumur 13 tahun dan seorang adik perempuannya berumur 7 tahun. Mereka berada di kebun seluas 10 dunam, mengumpul longgokan gandum berwarna kuning keemasan. Keluarga tersebut menyangka bahawa kehadiran aktivis-aktivis bersama mereka akan dapat memberi perlindungan ketika mereka bekerja. Justeru mereka membuat keputusan untuk pergi lebih jauh dari biasa bagi mengumpul makanan untuk ternakan. Di penghujung ladang gandum mereka kelihatan bukit-bukit pasir yang dibina menggunakan jentolak Israel. Semak-semak berduri tumbuh di situ, dan terdapat juga pohon-pohon kecil yang sudah kering, satu jenis makanan yang baik untuk keldai dan biri-biri. Seorang lelaki membongkok untuk mencabut beberapa tanaman, mengangkat lengannya dan menujuk ke arah sebuah bukit pasir, beberapa puluh meter jauhnya, “nampak tanah tu? Itu milik saya, tapi saya tak boleh ke sana.”

Dari menara kawalan, tentera Israel sangat pantas menunjukkan kekuasan mereka dalam memutuskan kawasan mana yang boleh ditanam, kawasan mana tidak boleh ditanam. Kami terdengar tembakan pertama ke udara beberapa ketika sebelum jam 9 pagi. Tiba-tiba, tanpa sebarang amaran 3 tembakan peluru disasarkan pada jarak 50 meter daripada para petani yang sedang sibuk bekerja. Bila mereka menembak ke udara, kita hanya terdengar dentuman tembakan. Tetapi jika peluru itu datang ke arah kita, anda akan dapat mendengar desiran peluru, dan bunyi peluru itu mendarat jatuh. Kebun itu berpasir, dan bilamana peluru jatuh, kami dapat lihat kepulan debu naik ke udara. Begitu dekat sekali. Sungguh dekat dengan 20 orang awam yang sedNG berada di situ hanya untuk menuai hasil tanaman mereka. Kira-kira 20 minit kemudian seorang lelaki yang kelihatan marah berhenti mengumpul rumput untuk ternakannya, dan berkata-kata tentang suasana sebuah traktor membajak tanah di sebelah sempadan di kawasan Israel, “tengok, orang Israel boleh berladang tanpa gangguan. Tapi kalau kami keluar ke ladang, mereka akan tembak kami.”

Pada hari kedua, satu lagi kumpulan petani dari keluarga An Najjar mula mengumpul bijirin di kawasan berdekatan, yang juga merangkumi kawasan seluar 10 dunam. Lebih 10 orang petani mengutip bijirin, dan beberapa orang wanita pula mengumpul rumput. Tapi apa yang boleh mereka tuai dari sebidang tanah seluas 10 dunam itu? Akhmad An Najjar cuba mengira: “Di masa lalu, kami membawa pulang 50-60 beg gandum. Sekarang kita hanya boleh mengumpul 10, 20 beg. Kami tidak dapat mengurus tanah ini kerana kamu tidak dapat masuk lebih jauh. Jumlah hasil jauh lebih sedikit dari 10 tahun yang lalu.” Pada 7.30 pagi, satu tembakan kedengaran dari arah menara kawalan, begitu juga dengan bunyi jip-jip dan kereta kebal yang bergerak tanpa henti di sepanjang sempadan. Pada hari ketiga, jip-jip dan kereta kebal terus bergerak, menyebabkan debu berkepulan ke udara di atas tanah yang kini diisytiharkan sebagai milik Israel. Dentuman peluru juga kedengaran. Seorang lelaki memberitahu kami, “mereka menembak sepanjang hari. Tetapi bila ada aktivis antarabangsa, tembakan mereka agak berkurangan.”

Khuza’a adalah merupakan sebuah perkampungan petani. Pusat perkampungan ini terletak sejauh 1 km daripada sempadan, manakala 80% daripada 2000 dunam tanah suburnya terletak di kawasan berisiko tinggi dan menjadi sasaran tembakan peluru Israel, dan juga dilarang masuk oleh tentera Israel kerana dikategorikan sebagai “buffer zone.” Begitu banyak ladang tidak dapat usahakan, dan sebahagian besarnya tidak dibenarkan masuk sama sekali. Menurut laporan PBB, 35% daripada tanah subur di Gaza berada di kawasan berisiko tinggi. Kes-kes di mana petani ditembak ketika dalam perjalanan ke ladang mereka kini menjadi suatu kebiasaan. Kadar kemiskinan mencecah 80%. Begitu juga dengan kadar pengangguran. Bagi majoriti rakyat Gaza ini, mereka kehilangan pekerjaan sejak bermulannya Intifadah Kedua sehinggalah ke hari ini. Antara yang menjadi mangsa teruk adalah petani dan nelayan, yang hanya mampu bergantung kepada bantuan antarabangsa.

Akhmad menjelaskan kenapa beliau dan keluarganya terus pergi ke ladang lagi, walaupun terpaksa berhadapan dengan semua ini. “Kami ingin makan dan hidup seperti orang lain. Ini adalah hak kami, ini adalah tanah kami, kami tidak akan meninggalkan ladang kami walaupun Israel terus menembak dan cuba menakut-nakutkan kami.”

—————–

Artikel asal disiarkan oleh International Solidarity Movement, Gaza pada 14 Mei 2011

SHARE