OCHA: 75,000 pelarian dalaman Gaza perlukan rumah

AL-QUDS, 11 Apr 2016 (WAFA) — Pejabat PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mendedahkan bahawa hasil kajian mereka ke atas keluarga penduduk Gaza yang menjadi pelarian dalam negeri mendapati seramai 75,000 orang masih tidak mempunyai tempat tinggal.

“Hasil daripada kajian terhadap 16,000 keluarga pelarian dalaman di Gaza, jelas sekali bahawa kebanyakan mereka terpaksa terus hidup dalam keadaan begitu terdesak,” jelas Robert Piper, Koordinator PBB bagi Bantuan Kemanusiaan dan Aktiviti Pembangunan.

Kajian OCHA menunjukkan 80% keluarga Gaza terpaksa meminjam wang untuk menyara hidup sepanjang tahun lalu. Lebih 85% daripada mereka membeli makanan secara berhutang, dan lebih 40% terpaksa mengurangkan pengambilan makanan harian mereka.

62.5% daripada pelarian dalaman ini terpaksa hidup dengan menyewa tempat tinggal. Hampir 50% daripada mereka menyatakan kebimbangan terpaksa keluar dari tempat tinggal kerana tidak mampu membayar sewa.

Keadaan kaum wanita dan anak-anak perempuan lebih membimbangkan, kerana kebanyakan keluarga terpaksa tinggal dalam kemah, rumah yang roboh, bangunan sementara, bahkan juga di lapangan terbuka, yang tidak menjamin keselamatan dan kehormatan mereka.

Keadaan di Gaza yang sudah pun dikepung dari dunia luar sejak tahun 2007 lagi menjadi semakin meruncing selepas serangan tentera Zionis pada tahun 2014.

Menurut Piper, sebarang bantuan luar bagi penduduk Gaza tidak begitu bermakna tanpa dihapuskan sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis, dan usaha membawa perubahan dalam politik Palestin.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts