Omar Abu Laila tewas selepas teguh melawan koalisi tentera Zionis

RAMALLAH, 20 Mac 2019 — Omar Abu Laila ditembak mati oleh pasukan khas tentera Zionis malam tadi, selepas diburu selama dua hari susulan serangan berdekatan kawasan penempatan haram Ariel hari Ahad lalu.

Operasi pasukan perisikan tentera Zionis memburu Omar tiba di kemuncaknya pada jam 9:00 malam, apabila mereka mengesan keberadaan beliau dalam sebuah bangunan dua tingkat di perkampungan Abwain, utara Ramallah. Ketika itu, pihak perisikan Shin Bet segera mengerah pasukan khas yang menyamar sebagai penjual sayur, dan masuk ke kawasan perkampungan sehingga sampai ke bangunan tersebut sebelum membuat serbuan.

Omar enggan menyerah diri, sebaliknya menembak pasukan tentera Zionis menggunakan senjata yang dirampas dari tentera-tentera Zionis yang dibunuhnya di Ariel. Ketika berbalas tembakan, pasukan khas Zionis Yamam melepaskan tembakan-tembakan roket ke arah bangunan tersebut.

Selepas tentera Zionis melepaskan banyak tembakan roket, tembakan dari Omar terhenti. Tentera Zionis lalu menghantar seekor anjing pengesan masuk. Anjing tersebut berjaya menemukan Omar, dan kembali kepada pasukan tentera bersama kamera yang digantung di lehernya.

Dengan penuh hati-hati, pasukan tentera khas itu memasuki bangunan dan menemui jenazah Omar. Tugas mereka selesai.

Shin Bet sangat risau jika berulang kes Ashraf Na’aluh yang membuat serangan di zon industri Burkan akhir tahun lalu. Operasi memburu Ashraf berlarutan sehingga dua bulan.

Pemburuan Omar tidak mungkin berjaya tanpa bantuan dan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Selepas berjaya membunuh Omar, pemimpin tertinggi Shin Bet, Nadav Argaman, menghubungi ketua perisikan PA, Majed Faraj, dan mengucap terima kasih atas maklumat yang diberikan oleh PA.

Radio tentera Zionis melaporkan bahawa PA bekerjasama dengan pihak tentera Zionis sejak bermulanya operasi, sehinggalah akhirnya mendedahkan lokasi Omar. Pasukan khas tentera Zionis memasuki perkampungan Abwain dengan menaiki sebuah teksi yang memakai plat kenderaan Palestin, selepas mendapat maklumat berharga tentang lokasi Omar.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar telah meninggalkan sepucuk surat untuk keluarganya, memohon maaf dari mereka dan merayu supaya tidak bersedih dengan pemergiannya. Beliau turut menyenarai nama beberapa rakan yang telah meminjamkan wang kepadanya, supaya keluarganya membayar hutang tersebut yang keseluruhannya berjumlah 50 Shekel (RM56).

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts