DAMASKUS, 21 Sep 2015 (BHP) — Seramai 18,000 pelarian Palestin masih terperangkap di kem pelarian Yarmouk tanpa tempat kediaman yang sempurna dan bekalan keperluan asas harian. Lebih 95% daripada mereka bergantung kepada bantuan agensi luar untuk mendapatkan makanan, air dan ubat-ubatan.

Alhamdulillah, masyarakat Malaysia dan Indonesia turut memainkan peranan membantu saudara mereka yang mengharungi keperitan hidup dalam peperangan sejak lebih empat tahun lalu. Berkat kerjasama erat di antara HALUAN dan Sahabat Al-Aqsha yang berpengkalan di Indonesia, serta Al-Sarraa Foundation yang beroperasi di lapangan, amanah sumbangan rakyat Malaysia dan Indonesia telah disampaikan dalam bentuk paket makanan, sumbangan wang tunai dan juga agihan makanan panas di musim sejuk.

Menurut Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri, agihan bantuan telah dilakukan oleh relawan Al-Sarraa Foundation yang tetap bertahan dan gigih menyalur bantuan di Syria, khususnya sekitar Damaskus. “Insha Allah kita akan terus bergandingan bahu dengan Sahabat Al-Aqsha Indonesia dan rakan-rakan NGO yang lain, terutamanya Al-Sarraa Foundation yang dapat menggerakkan relawan mereka di lapangan, dalam usaha membantu saudara kita di Syria,” kata beliau dalam satu kenyataan di pejabat HALUAN di Bandar Baru Bangi.

Kem Yarmouk yang terletak lapan kilometer dari pusat kota Damaskus menjadi kem pelarian Palestin terbesar di Syria, di mana sehingga Jun 2002, sekitar 250,000 pelarian tinggal di situ. Di akhir tahun 2014, hanya tinggal 18,000 penghuni. Mereka bukan hanya terpaksa berhadapan dengan serangan dan pertempuran yang berterusan, tetapi juga ancaman kebuluran dan jangkitan penyakit akibat tersekat dari dunia luar.

Laporan Syria Network for Human Rights beberapa hari lalu menyebut seramai lebih 3,200 pelarian Palestin telah terbunuh di Syria. Lebih 200 pelarian di Yarmouk meninggal dunia akibat kelaparan.

Semoga sumbangan dan keprihatinan anda akan membawa rahmat dan keberkatan yang berkekalan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun

Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
Akaun No. 5622 6350 2611
Maybank Berhad

SHARE