Palestin tolak tawaran Netanyahu bagi mengiktiraf negara Yahudi

RAMALLAH, Selasa 12 Oktober — Pihak Otoriti Palestin menolak desakan Perdana Menteri rejim Zionis supaya mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara untuk kaum Yahudi. Sebagai pertukaran sekiranya pihak Palestin menerima desakan itu, Netanyahu pula akan mendesak kerajaannya supaya melanjutkan tempoh pembekuan penempatan baru Yahudi.

Jurucakap kepada Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudaineh dalam kenyataannya kepada agensi berita Reuters berkata bahawa pihaknya tetap dengan syarat pembekuan penempatan baru Yahudi bagi meneruskan sebarang rundingan damai.

“Isu negara Yahudi tidak ada kaitan langsung dengan perkara ini,” kata Abu Rudaineh kepada Reuters. Malahan desakan Netanyahu itu dilihat sebagai satu halangan baru bagi sebarang usaha memulihkan rundingan, selepas kegagalan sebelum ini akibat aktiviti perluasan penempatan baru Yahudi.

Presiden Mahmoud Abbas bertindak menarik diri daripada rundingan yang dihidupkan semula pada 2 September lalu di bawah tajaan Amerika. Dalam rundingan awal itu, Presiden Abbas memberi ugutan untuk menghentikan rundingan sekiranya Israel gagal melanjutkan tempoh pembekuan sementara bagi kerja-kerja membina penempatan Yahudi. Walaupun masyarakat antarabangsa menggesa Israel melanjutkan tempoh tersebut bagi memberi ruang kepada rundingan damai, Israel tetap memperhebat kerja-kerja pembinaan di timur Green Line sejurus selepas tempoh pembekuan sementara tamat akhir September lalu.

Menteri-menteri luar negara Arab yang bermesyuarat pada hari Jumaat lalu menyokong keputusan Presiden Abbas untuk menarik diri daripada rundingan damai. Walaubagaimanapun mereka bersetuju untuk memberi tempoh selama satu bulan bagi Amerika menyelesaikan krisis ini, yang menemui kebuntuan akibat kedegilan Israel untuk menghadkan perluasan kawasan penempatan Yahudi.

Ketika bercakap di parlimen Israel semalam, Netanyahu berkata, “sekiranya pemimpin Palestin bersama rakyatnya mengisytihar Israel sebagai tanahair untuk orang Yahudi, saya bersedia untuk memujuk kerajaan dan memohon lanjutan tempoh pembekuan.”

Dalam kenyataannya seperti yang dipetik akhbar Hareetz, Netanyahu menyebut, “sepertimana bangsa Palestin yang mengharapkan kami mengiktiraf negara mereka, begitulah kami mengharapkan (pengiktirafan yang sama terhadap Israel.) Ini bukanlah suatu syarat, tetapi satu langkah kepada sikap saling mempercayai. Ia akan membina semula rasa percaya rakyat Israel terhadap bangsa Palestin untuk berdamai yang telah hilang sejak 10 tahun yang lalu.”

Israel sehingga hari ini masih tidak mengiktiraf negara Palestin. Sebaliknya, perunding-perunding Palestin telahpun mengiktiraf negara kewujudan Israel, tetapi tidak sebagai sebuah negara untuk kaum Yahudi.

Sebarang pengiktirafan negara Israel sebagai tanahair Yahudi sudah tentu akan menguburkan hak bangsa-bangsa lain yang tinggal di daerah-daerah jajahan Zionis untuk menetap di negara haram itu. Ianya sekaligus akan menghalang sebarang peluang untuk pelarian bangsa Palestin yang dihalau untuk pulang ke tanahair mereka buat selama-lamanya. (mn/Hareetz/Ma’an)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts