Pameran dan Jualan Amal HALUAN Palestin di USM Menarik Perhatian Pengunjung FesKI 2012

usm-01KUBANG KERIAN, 6 April 2012 — Biro HALUAN Palestin Kelantan telah mengadakan pameran dan jualan amal Palestin sempena Festival Kelestarian Islam (FesKI) 2012 anjuran Rakan Masjid Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

FesKI 2012 telah berlangsung selama lima hari dari 25 hingga 29hb Mac. Ini merupakan tahun yang ketiga HALUAN Palestin menerima jemputan dari pihak penganjur.

HALUAN Palestin tampil bersama koleksi pelbagai poster dan maklumat penting bagi menerangkan apa yang berlaku di bumi Palestin dan usaha-usaha yang dilakukan oleh HALUAN dalam membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat Palestin. Kehadiran booth HALUAN Palestin di pameran tersebut telah berjaya menarik perhatian orang ramai, terutama sekali para pelajar dan kakitangan USM, untuk singgah mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bumi wakaf umat Islam ini.

Booth HALUAN Palestin juga mengadakan jualan amal pelbagai barangan seperti sticker, mafla, baju, VCD dan pelbagai lagi barangan bagi menyokong perjuangan pembebasan bumi Palestin dari cengkaman Zionis Yahudi. Apa yang menarik, booth HALUAN Palestin tidak putus-putus menerima kunjungan daripada pelajar luar negara seperti Kashmir, Jordan, Sudan, Somalia dan Palestin sendiri. Kebanyakan daripada mereka bukan datang hanya sekadar melihat pameran, malah mereka sangat teruja dan berterima kasih atas usaha yang dilakukan oleh HALUAN.

Alhamdulillah, sejumlah RM800.00 berjaya dikutip melalui jualan dan kutipan tabung HALUAN Palestin di sepanjang pameran tersebut.

HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada warga USM, terutama sekali kepada barisan jawantankuasa Festival Kelestarian Islam (FesKI) 2012 di atas usaha mereka menganjurkan festival ini. Semoga usaha ini akan diteruskan dengan lebih baik lagi dan memberi nilai positif kepada umat Islam seiring dengan tujuan pelaksanaannya.
————–

Laporan oleh Nurmayamin Bte Uzir (Relawan HALUAN Palestin Kelantan)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts