Pasukan HALUAN berlepas ke Gaza

KUALA LUMPUR, 25 April, 2012 – Seramai 11 relawan HALUAN telah berlepas ke Kaherah menuju ke sempadan Gaza kelmarin untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan di sana.

Menurut Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Darus Senawi, pemergian pasukan ini memasuki Gaza melalui pintu gerbang di Rafah merupakan rentetan usaha-usaha HALUAN yang lepas di mana beberapa orang relawannya sudahpun memasuki Gaza untuk menyantuni mangsa-mangsa peperangan ganas oleh rejim Israel dengan membawa bantuan kewangan, perubatan, serta projek-projek pemulihan masyarakat di situ.

Maqam Imam Sharie di Kaherah
Maqam Imam Sharie di Kaherah

‘Gaza Palestin adalah bumi kelahiran Imam Shafie. Dan kita adalah pengikut mazhab Imam Shafie. Sepatutnyalah kita merasa terpanggil untuk berbakti serta meyantuni rakyat Palestin di sana kerana mereka sedang mempertahankan benteng Islam yang cuba dicerobohi Yahudi laknatuLlah. Usaha kecil kita ini hanya merupakan usaha yang kerdil berbanding mereka di sana yang tidak akan berganjak walaupun terpaksa bermandi darah,” kata beliau semasa menghantar pasukan relawan tersebut di lapanganterbang antarabangsa KLIA.

Kata beliau lagi HALUAN hanya mampu melaksanakan usaha yang terbatas ini demi memenuhi hajat rakyat Malaysia yang telahpun menderma dengan murah hati demi mangsa di Gaza. Semoga usaha ini dapat dicontohi oleh lebih ramai lagi rakyat di negara ini tanpa mengira kaum ataupun agama.

Sebelum itu di sebelah pagi, semasa sessi mindsetting para relawan di pejabat Biro HALUAN Palestin, Ustaz Darus berpesan bahawa ”Palestin sebuah bumi yang diberkati. Bumi yang berkat kerana berlakunya penerusan jihad Rasulullah SAW di sana di mana Islam dicabar oleh seterunya dan ada satu golongan manusia yang bangkit menyahut seruan jihad ini. Namun seisi dunia Islam semacam lesu, tidak bermaya dan pengsan daripada sama-sama bangkit membantu umat Islam di Palestin, seolah-olah perjuangan mereka untuk watan mereka sahaja. Ini salah – kerana ini adalah watan seluruh umat Islam sedunia”.

Katanya lagi, setiap rakyat Malaysia ada sahamnya di Palestin kerana Allah akan bertanya ketanggungjawabannya nanti – apakah yang dia telah lakukan demi mengambil kembali bumi Islam yang telah dirampas oleh zionis Israel. Ini adalah isu aqidah di samping juga ianya adalah isu hak kemanusiaan sejagat yang juga menjadi isu semulajadi bagi semua bangsa dan agama di dunia. Dunia tidak boleh memejamkan mata selagi kekejaman Yahudi ini tidak dihancurkan.

Para relawan bergambar sebelum berlepas di KLIA
Para relawan bergambar sebelum berlepas di KLIA

Sebelum berlepas, ketua misi yang juga Ketua Biro HALUAN Palestin Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Hadad memaklumkan bahawa misi sembilan hari itu disertai 11 orang relawan yang dipilih dari seluruh negara daripada pelbagai bidang kemahiran untuk melaksanakan objektif misi tersebut secara berkesan. Ini termasuklah tiga orang relawan yang pernah ditahan oleh Israel kerana menyertai flotilla di atas kapal MV Mavi Marmara.

Ianya akan melawat dan memantau beberapa buah projek pemulihan yang telah dilaksanakan di Gaza oleh HALUAN hasil daripada derma ikhlas rakyat di Malaysia selama ini. Ini termasuklah projek pemerosesan air bumi untuk minuman penduduk selepas loji air mereka dibom pada tahun 2008, projek penternakan untuk bekalan makanan berprotin, pusat usahanita niaga, sekolah-sekolah serta projek kesihatan masyarakat.

Para relawan yang baru tiba di Kaherah
Para relawan yang baru tiba di Kaherah

”Kami akan saksikan sendiri keiltizaman penduduk Gaza dalam membangunkan kehidupan mereka dengan bantuan kita di Malaysia. Kami akan saksikan sendiri bagaimana mereka tetap bertahan dan tidak mahu berpindah keluar walaupun berbagai cara dilakukan oleh zionis Israel untuk megusir mereka dari tanahair mereka sendiri. Agar akhirnya mereka ini akan menempuh kejayaan sebagai umat dan negara Islam Palestin merdeka dan kita di sinipun akan mempunyai saham di sana kerana kita membantu mereka tanpa jemu,” kata beliau lagi.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts