BANDAR BARU BANGI, 18 Dis 2014 — Enam relawan HALUAN yang menyertai Misi Bantuan Musim Sejuk 2014 Untuk Gaza Dan Syria telah selamat pulang ke tanahair. Misi mereka selama 10 hari telah berjaya menyampaikan amanah masyarakat Malaysia kepada pelarian Syria di sempadan Turki dan juga pelarian Syria dan Palestin di Lubnan.

Ketika ditemubual oleh MediaHALUAN sejurus tiba di KLIA, Ketua Biro HALUAN Palestin merangkap ketua misi, Dr Mohd Arbaai Shawal, menjelaskan bahawa peringkat pertama tugasan mereka telah dilaksanakan di kawasan perkampungan Reyhanli di daerah Antakya, Turki. “Sebahagian besar daripada pelarian di sini merupakan mereka yang baharu tiba melintas sempadan dan tidak mendapat tempat di kem-kem pelarian. Mereka terpaksa menumpang atau menyewa rumah, gudang, atau apa sahaja yang boleh dijadikan tempat tinggal sementara,” terang beliau. Berbanding dengan mereka yang tinggal di kem-kem rasmi, pelarian ini tidak mendapat sebarang bantuan mahupun perlindungan. “Mereka tinggal tanpa alat pemanas dan kemudahan asas, bahkan ada yang terpaksa menumpang tandas jiran.”

Sebanyak lebih 700 pek bantuan makanan dan keperluan harian telah diagihkan untuk 350 buah keluarga pelarian dengan kerjasama sebuah NGO yang ditubuhkan oleh pelarian Syria sejak tiga tahun lalu, Al-Agial Generations for Relief and Development.

Manakala dalam misi mereka di Lubnan, pasukan relawan ini telah memasuki kem pelarian Palestin di Bourj el-Barajneh di selatan Beirut bagi menyampaikan bantuan. Mereka juga berkunjung ke wilayah Saeda di selatan Lubnan yang menempatkan beberapa buah lagi kem pelarian Palestin. Hampir semua kem-kem ini dibina sejak bermulanya tragedi Nakba pada tahun 1948.

Sungguhpun Lubnan merupakan sebuah negara yang terbuka, kehadiran pelarian Syria di sini agak sensitif di mana mereka berhadapan dengan berbagai tekanan sosial dan politik. Mereka secara umumnya berpindah dari satu kem ke kem yang lain sehingga sukar bagi NGO atau institusi berkaitan menyalur bantuan secara berkesan. “Atas sebab keselamatan dan prosedur ketat pihak berkuasa Lubnan, kami tidak dapat mengunjungi kem-kem di sempadan Syria-Lubnan,” jelas Dr Mohd Arbaai. “Bagaimanapun kami telah menjalin kerjasama dengan beberapa NGO Lubnan bagi menyampaikan bantuan untuk pelarian yang sedang berhadapan dengan musim sejuk ini. NGO terbabit mendapat kebenaran bermusim untuk masuk ke kem-kem di sempadan Syria.”

Kempen bantuan musim sejuk ini juga memberi tumpuan utama bagi membantu penduduk di dalam wilayah Gaza dan Syria. “Malangnya buat masa ini kita tidak ada ruang untuk masuk membantu mereka secara langsung,” kata Dr Mohd Arbaai. Bagaimanapun, syukur kepada Allah kerana rakan NGO HALUAN iaitu Al-Sarraa Foundation yang terjalin kerjasama sejak tahun 2009 masih sangat aktif membantu dan menyantuni penduduk Syria, terutama sekali di kawasan yang tekepung di sekitar Damaskus. “Sejak awal November, kita telah menghulurkan bantuan asas makanan dan pakaian sejuk serta keperluan mendesak mereka iaitu pembinaan empat buat telaga tiub bagi membekal air bersih dan penyediaan sebuah gudang kayu api untuk diagihkan kepada penduduk secara percuma.”

Begitu juga di Gaza yang masih terkepung, relawan Al-Sarraa bekerja keras tanpa sebarang imbuhan untuk mengagihkan bantuan makanan dan keperluan misim sejuk.

Selain daripada mengagihkan bantuan, relawan HALUAN turut mengambil kesempatan untuk berbincang dengan beberapa NGO dan institusi tempatan bagi merancang bantuan strategik yang lebih tersusun.

“Mungkin dua atau tiga minggu lagi salji akan mula turun di sempadan Turki dan wilayah Syria. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada mereka yang tinggal di dalam kemah-kemah atau rumah yang rosak, yang tidak ada alat pemanas. Kita memerlukan lebih banyak dana untuk membantu mereka,” kata Dr Mohd Arbaai mengakhiri temubual. “Insya Allah kita akan terus menghantar bantuan yang mereka perlukan dengan sebaik yang kita mampu. Tidak ada yang lebih mengharukan kami selain daripada melihat ibu-ibu dan anak-anak yang tidak putus-putus mengucap terima kasih dan memanjat doa kepada anda yang menghulur bantuan untuk mereka.”

Terdahulu pada 24 November lalu, pasukan pertama kempen bantuan musim sejuk ini telah mengagihkan bantuan untuk pelarian Syria di Kem Pelarian Syria Zaatari, Kem Pelarian Azraq dan juga penempatan sementara pelarian Syria Karamah di sempadan Syria-Jordan.

Bantuan ikhlas anda boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
Maybank Berhad : 5622-6350-2611

atau,

Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

SHARE