Pembinaan Semula Gaza – The Siege 2.0?

siegeBANDAR BARU BANGI, 24 Okt 2014 (BHP) — Dana bantuan sejumlah UD$5.4bilion telah dijanjikan oleh pelbagai pihak semasa persidangan di Kaherah pada 12 Oktober baru lalu. Tidak banyak maklumat didedahkan kepada umum, bahkan juga kepada pihak berkuasa dan penduduk Gaza, tentang bila dan bagaimana program bantuan tersebut akan dilaksanakan.

Yang jelas adalah bahawa Palestinian Authority (PA) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di samping rejim Zionis yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam memusnahkan apa yang ada di Gaza, sejak dari awal telah menjadi tiga aktor penting dalam melaksanakan projek bantuan pembinaan semula” Gaza. Sebaik sahaja selesai persidangan tersebut, PA tanpa berlengah telah membuat kenyataan bahawa hanya separuh daripada dana yang dijanjikan akan disalurkan ke Gaza, manakala separuh lagi akan digunakan untuk menampung lompong bajet PA.

Penulis Ali Abunimah membuat pendedahan tentang perkara ini melalui blog beliau di Electronic Intifadah berdasarkan maklumat yang bocor dari satu majlis taklimat tertutup yang disampaikan oleh Pengarah United Nations Office for Project Services (UNOPS), Nicholas O’Regan, kepada perwakilan NGO antarabangsa di al-Quds pada 14 Oktober lalu.

Di bawah nama “pembinaan semula” rejim Zionis melalui kerjasama erat PBB dan PA akan melaksanakan kawalan strategik yang lebih mendalam ke atas kehidupan harian setiap penduduk Gaza. Bahkan PBB akan memantau dan mengumpul maklumat peribadi tentang keluarga Palestin di Gaza dan menyerahkannya kepada rejim Zionis, yang akan memegang kuasa veto bagi memutuskan keluarga mana yang akan mendapat bantuan bagi membina semula rumah.

PBB menganggarkan hampir 90,000 buah rumah perlu dibina semula, di samping ratusan buah sekolah dan infrastrukur penting lain yang dimusnahkan secara sistematik melalui serangan dan juga sekatan berterusan sejak tahun 2006.

siege2

Lembaran fakta PBB yang dinamakan “Mekanisma Pembinaan Semula Gaza” memberikan gambaran umum tentang projek ini. O’Regan memberi amaran kepada peserta taklimat, “Hati-hati dengan apa yang anda keluarkan dari mesyuarat ini. Jangan ambil mudah. Fikirkan tentang semua mereka yang inginkan supaya rumah mereka dibina semula.”

gview

gview 2Apakah O’Regan cuba mengambil kesempatan daripada kesempitan hidup penduduk Gaza bagi menutup beberapa aspek politik yang kontroversi dalam persetujuan di antara rejim Zionis dan PA?

Atau apakah ini juga merupakan versi terbaharu yang lebih rumit dalam sekatan rejim Zionis dan sekutunya ke atas Gaza – The Siege 2.0?

Jika sebelum ini semua proses masuk-keluar manusia dan barangan dikawal oleh rejim Zionis, projek “pembinaan semula” ini adalah satu sekatan dan kawalan yang jauh lebih canggih dengan dilibatkan secara langsung pihak PBB serta PA sendiri, dan juga negara penderma yang mereka gelar sebagai “masyarakat dunia”.

Sebelum pembinaan boleh bermula, vendor atau peniaga yang akan dibenarkan membawa masuk bahan binaan dan mengagihkannya kepada pembeli di Gaza mestilah diluluskan terlebih dahulu. PBB telah membuat lawatan ke enam daripada 12 vendor yang dijangka mendapat kelulusan tersebut. Semua vendor ini harus dicadangkan oleh PA, dan kemudian PBB akan menyiasat kelayakan mereka. Kriteria pemilihan vendor ini termasuklah syarat mempunyai kemudahan operasi, kamera litar dan sistem inventori yang mampu mengesan setiap beg simen.

Manakala tugasan mengawal dan mengesan bahan binaan di Gaza akan dilakukan oleh sebuah syarikit multi-nasional, CTG Global. Syarikat ini mempunyai kontrak kerajaan dan ketenteraan di serata dunia.

Pembinaan semula sesebuah rumah perlu melalui empat langkah berikut:

  1. Penilaian keperluan bagi keluarga yang mana rumah mereka telah musnah. Data setiap ahli keluarga, termasuk maklumatperibadi seperti nombor pengenalan dan koordinat GPS rumah keluarga tersebut, akan dimasukkan ke dalam pengkalan data yang kononnya diletak di bawah kawalan PA. Bilamana data sudah dimasukkan, rejim Zionis diberi tempoh 48 jam untuk membantah mana-mana nama yang terdapat di dalam senarai.
  2. Setelah penilaian selesai, vendor akan membuat tempahan bahan binaan melalui rejim Zionis. Vendor tersebut mestilah mampu mengesan pergerakan setiap barang yang akan dibekalkan. Tempahan akan dibuat secara pukal oleh vendor dengan kerjasama PA. Bayangkan, dengan sekatan dari dunia luar yang dikenakan ke atas rakyat Palestin, mereka diwajibkan membeli simen secara pukal dari sebuah syarikat Zionis yang membekal secara monopoli bahan tersebut iaitu Nesher Israel Cement Enterprises. Syarikat inilah yang terlibat aktif secara langsung dalam mengeksploitasi wilayah Tebing Barat, termasuk pembinaan bangunan penempatan haram Yahudi.
  3. Setelah vendor menerima bahan binaan yang diperlukan, keluarga berkenaan akan dapat mengambilnya daripada vendor dengan pengesahan menggunakan kad pengenalan mereka. Mereka akan hanya menerima barangan mengikut laporan yang dibuat dalam penilaian keperluan.
  4. Dari sini, keluarga tersbut akan dipantau dengan rapi. PBB mempunyai 100 orang pemantau yang akan membuat pemeriksaan mengejut di tapak projek. Melalui data GPS, rejim Zionis juga boleh memantau dengan mudah menggunakan drone.

Proses yang perlu dilalui oleh projek berskala besar seperti pembinaan sekolah, jalan, janakuasa elektrik dan pusat kumbahan adalah sama seperti yang ditetapkan untuk pembinaan rumah individu keluarga. PA akan menyerahkan cadangan projek berkenaan kepada rejim Zionis, dan kemudian Zionis mempunyai kuasa sepenuhnya untuk membuat keputusan bagi melulusakan projek tersebut secara invidivu. Jangkamasa untuk mendapatkan kelulusan tidak ditetapkan.

siege3

Daripada sebuah wilayah yang dikepung seperti sebuah penjara terbuka, Gaza kita bertukar menjadi sebuah komuniti yang “lebih bebas dan berkuasa” tetapi dikawal sepenuhnya oleh rejim Zionis dan masyarakat antarabangsa, kata penulis Yahudi, Dimi Reider melalui tulisannya di Middle East Eye.

Benar, kemasukan bahan binaan dan barangan lain ke Gaza akan dapat membantu ekonomi dan penduduk Gaza. Namun sekatan berterusan dan kawalan yang lebih kompleks ini hanya mengubah Gaza dari sebuah kem penjara taraf dunia ketiga kepada sebuah kem tahanan bertaraf Guatanamo, atau apa yang dikatakan sebagai kem kawalan versi kecanggihan Amerika.

Rancangan untuk mengawal semua kemasukan, simpanan dan jualan bahan binaan dengan pelbagai kaedah dan teknologi, termasuk CCTV, pasukan pemerhati antarabangsa dan pembinaan pengakalan data pembekal dan pembeli, adalah lebih layak dikenakan ke atas sebuah projek yang cuba membangunkan senjata nuklear, berbanding dengan projek “pembangunan semula” sebuah wilayah yang telah dihancurkan dan dinafikan semua keperluan asas.

Gaza juga kini ingin dijadikan “syurga kapitalisma”, dengan mengambil kesempatan daripada kesengsaraan, pegawalan dan pemenjaraan seluruh penduduknya.

Ini adalah The Siege 2.0. Dan ianya dipersembahkan kepada penduduk Palestin dengan subahat dan penglibatan langsung PBB, PA dan “masyarakat antarabangsa”.

Mungkin inilah sebabnya Hamas sangat komited dan tegas dalam mendesak supaya “pembinaan semula” Gaza tidak sekali-kali dikaitkan agenda perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan bumi mereka. Ismail Haniyeh pernah menyatakan, “Hamas tidak akan menukar senjatanya dengan bantuan pembinaan semula Gaza.” Namun, tegas beliau, “Pembinaan semula Gaza adalah suatu yang sah, sepertimana juga senjata Hamas.”

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts