NABLUS, 2 Jan 2018 — Gerombolan pendatang Yahudi dari kawasan penempatan haram Elon Moreh membina beberapa buah kemah dan memasang pagar di atas tanah milik penduduk Palestin di kawasan Ras al-Ein di perkampungan Deir al-Hatab dalam wilayah Nablus, menandakan rancangan membina sebuah pos penempatan haram baharu.

Deir al-Hatab dibahagi kepada Kawasan B dan Kawasan C dalam Perjanjian Oslo II pada tahun 1995. Sekitar 42% atau 478 hektar terletak dalam Kawasan B, yang ditabdir oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) tetapi urusan keselamatan dikawal oleh tentera Zionis. Selebihnya, Kawasan C, dikawal sepenuhnya oleh rejim Zionis di mana penduduk Palestin mesti mendapatkan kebenaran rejim untuk membina sebarang struktur binaan.

Majoriti penduduk Palestin tinggal dalam Kawasan B, manakala kebanyakan Kawasan C adalah tanah pertanian yang sebahagiannya telah dirampas untuk penemapatan haram. Penempatan haram Elon Moreh dibina pada tahun 1979 setelah rejim Zionis merampas tanah seluas 66 hektar di timur laut Deir al-Hatab.

Rejim Zionis turut merampas tanah seluas 5 hektar di Deir al-Hatab untuk dijadikan zon industri, 1.2 hektar untuk pembinaan pengkalan tentera serta beberapa hektar lagi untuk pembinaan sekatan jalan serta laluan khusus untuk pendatang Yahudi.

Penduduk Deir al-Hatab sering menjadi mangsa serangan pendatang Yahudi dari Elon Moreh, termasuk kecurian hasil tanaman, kemusnahan pokok tanaman dan ternakan, serta kerosakan rumah dan harta. Pada tahun 2009, pendatang Yahudi telah memotong bekalan elektrik dan merampas serta membina pagar berduri sekitar kawasan sumber air utama.

(Maan)

SHARE