Pengkhianatan Balfour ke atas Palestin berterusan sehingga kini

LONDON, 2 Nov 2016 (MEMO) — Deklarasi Balfour merupakan satu pengkhianatan terancang yang menjadi asas kepada kejahatan tanpa henti rejim Zionis ke atas penduduk Palestin sehingga sekarang.

Deklarasi Balfour adalah sepucuk surat ringkas bertarikh 2 November 1917, yang ditulis oleh Setiausaha Luar Britain Lord Arthur Balfour kepada Baron Lionel Walter Rothschild, seorang pemimpin Zionis di Britain, yang menyatakan sokongan kerajaannya kepada rancangan menubuh sebuah negara Yahudi di atas tanah Palestin.

Deklarasi tersebut lahir selepas perbincangan selama tiga tahun di antara kerajaan Britain, masyarakat Yahudi di Britain dan juga pergerakan Zionis Antarabangsa, di mana Zinois telah berjaya memperdaya pegawai-pegawai Britain bahawa penubuhan “tanah air” Yahudi di bumi Palestin tidak akan menjejas kepentingan mereka di rantau tersebut.

Rakyat Britain ketika itu secara umumnya merasa bahawa dunia Barat bertanggungjawab ke atas kekejaman yang dilakukan kepada kaum Yahudi. Selepas Perang Dunia Kedua dan peristiwa Holocaust, tekanan untuk menubuh sebuah negara Yahudi semakin menghangat, di tengah-tengah peningkatan sokongan kuasa antarabangsa ke atas Pergerakan Zionis

Palestin diduduki oleh tentera Britain pada tahun 1917. Lima tahun kemudian, Liga Bangsa-Bangsa – yang kemudian menjadi PBB – menugaskan Britain sebagai pentadbir sementara ke atas negara Palestin bagi melaksanakan “sistem mandat” yang dibentuk dalam Perjanjian Versailles pada tahun 1919. Dengan itu, Britain diberi amanah atau kepercayaan oleh oleh penduduk Palestin termasuk kelompok Yahudi, Arab dan Islam.

Bagaimana Britain mengkhianati amanah?

Deklarasi Balfour bagaimanapun menjadi satu pengkhianatan ke atas penduduk Arab kerana Britain berjanji untuk memberi kuasa autonomi sepenuhnya kepada pemimpin Arab, dari Laut Merah sehingga ke Teluk Arab, sebagai habuan atas kerjasama mereka menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dalam Peperangan Dunia Kedua. Britain memberi jaminan untuk “membentuk kerajaan dan pentadbiran kebangsaan yang berdasarkan kepada kebebasan dan pilihan penduduk asal.”

Sebaliknya, apabila peperangan tidak memihak kepada Britain pada tahun 1917, Balfour menulis sepucuk surat kepada pemimpin Zionis di Britain untuk mendapatkan sokongan Yahudi ke atas pakatan mereka. Chaim Weizmann, seorang pemimpin Zionis di Britain, dan Rothschild melobi untuk menjayakan rancangan tersebut. Hasilnya, hak penduduk asal Palestin dan janji Britain kepada pemimpin Arab dikhianati.

Kontroversi Deklarasi Balfour

Deklarasi Balfour turut membawa kontroversi tersendiri kerana ia ditulis dengan susunan perkataan yang mengelirukan. Sebahagian pengkritik menganggap ianya dibuat secara sengaja, sehingga menyebabkan berbagai tafsiran boleh dibuat berkenaan komitmen Britain ke atas penubuhan sebuah negara Yahudi.

Deklarasi tersebut tidak menyatakan secara jelas sokongan ke atas sebuah negara khusus untuk Yahudi di Palestin, tetapi sebuah “tanah air” kaum Yahudi di mana mereka akan dapat hidup bersama masyarakat Palestin dan Arab yang telah menetap di situ sejak berkurun. Bahagian kedua deklarasi tersebut berkaitan jaminan ke atas hak-hak awam dan keagamaan masyarakat bukan Yahudi sedia ada juga dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada hak dan kuasa autonomi penduduk Arab, yang dikatakan sebagai setanding dengan apa yang diberi kepada Yahudi.

Apakah kesan dari Deklarasi Balfour?

Deklarasi Balfour serta muslihat Zionis di sebalik deklarasi tersebut telah membuka laluan kepada penghijrahan besar-besaran kaum Yahudi dari seluruh dunia ke bumi Palestin.

Apabila tempoh mandat tamat pada tahun 1948, Britain keluar dari bumi Palestin, sekaligus membenarkan pengganas Zionis mencetus peristiwa Nakba 1948 di mana ratusan ribu penduduk asal Palestin dibunuh serta dihalau lari meninggalkan rumah mereka, sekaligus membolehkan pengisytiharan unilateral sebuah negara yang digelar “Israel” di atas tanah tersebut.

Pada masa Deklarasi Balfour, 90% daripada penduduk Palestin adalah kaum bukan Yahudi. Namun jumlah penduduk Yahudi terus melonjak dari 50,000 kepada 600,000 menjelang pengisytiharan negara haram itu, iaitu hanya dalam tempoh tiga abad selepas surat Balfour itu ditulis.

Palestin menjadi mangsa di tengah kemabukan Zionis mencari sebuah “tanah air” dari mana mereka dapat menguasai dunia dengan menggunakan sentimen untuk membela nasib kaum Yahudi, biarpun perbuatan mereka itu bertentangan dengan prinsip asas Yahudi sendiri.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts