Penjara terbuka bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di Tebing Barat

BAITULMAQDIS, 27 Jun 2018 — Wilayah Gaza sering disebut sebagai penjara terbuka terbesar di dunia.

Walaupun rejim Zionis memindahkan semua kawasan penempatan haram Yahudi serta pengkalan tenteranya dari Gaza pada tahun 2005, wilayah tersebut tetap terjajah di mana rejim Zionis mengawa semua sempadan, ruang udara dan perairan, kecuali pintu lintasan Rafah di sempadan Mesir, yang jarang sekali dibuka.

Bagaimanapun, ada lagi beberapa penjara terbuka yang dikawal oleh rejim Zionis di dalam wilayah Tebing Barat. Perkampungan Nabi Samuel adalah salah satu daripadanya.

Perkampungan kecil Nabi Samuel yang terletak berdekatan Baitulmaqdis disifatkan oleh penduduknya sebagai sebuah “perkampungan yang diharamkan semua perkara”. Terlalu banyak sekatan ke atas pergerakan penduduk, pembinaan bangunan, dan bahkan pengunjung ke situ. Sekatan tersebut merupakan satu tindakan “paksaan secara tidak langsung untuk menghalau penduduk Palestin keluar” – pembersihan kaum.

Penduduk Palestin diharamkan membina bangunan baharu atau membesarkan rumah lama mereka, sedangkan pendatang Yahudi yang tinggal di kawasan penempatan haram berdekatan dibiarkan bebas bergerak serta meluaskan kawasan mereka sesuka hati.

Dalam video di atas, pertubuhan hak asasi Al-Haq memaparkan secara mendalam tentang penjajahan rejim Zionis ke atas Nabi Samuel. Walaupun banyak sekatan yang ada sini adalah sama seperti tempat-tempat lain di Tebing Barat, terdapat beberapa aspek unik di sini.

Asalnya terdapat 1,000 penduduk Palestin di Nabi Samuel.Ia mula diduduki oleh rejim Zionis ketika menceroboh Tebing Barat pada tahun 1967. Sepanjang Perang Enam Hari, semua penduduk kecuali 200 orang dipaksa lari ke Jordan.

Walaupun perkampungan itu tidak jauh dari Baitulmaqdis, rejim Zionis enggan mengisytiharkannya sebagai sebahagian daripada wilayah “Baitulmaqdis Raya”. Dengan itu, penduduknya diberikan kad pengenalan Tebing Barat yang berwarna hijau, bukan kad Baitulmaqdis yang bewarna biru.

Pada tahun 1971, rejim Zionis memusnahkan semua rumah-rumah penduduk Palestin yang masih berdiri di situ, memaksa penghuni keluar dan berpindah ke perkampungan-perkampungan pelarian tahun 1967.

Perkampungan Nabi Samuel diletakkan dalam Kawasan C Persefahaman Oslo 1995, iaitu zon Tebing Barat yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Zionis. Sepanjang beberapa tahun tempoh “proses perdamaian”, ketika penempatan Yahudi berkembang pesat di bawah pentadbiran kerajaan Buruh dan Likud, perkampungan ini dikelilingi oleh koloni Yahudi di sebelah utara, selatan dan barat, di mana penduduk Palestin tidak dibenarkan masuk.

Sejak sekitar tahun 2005 pula, Nabi Samuel dikepung oleh tembok pemisah aparthied di sebelah timurnya.

Walaupun secara geografinya tidak ada halangan bagi penduduk Nabi Samuel untuk memasuki kawasan Baitulmaqdis, sebagai penduduk Palestin yang memegang kad pengenalan Tebing Barat yang dikeluarkan oleh rejim Zionis mereka lazimnya tidak diberikan permit untuk bekerja di kota suci itu, bahkan tidak dibenarkan memasukinya.

Seorang penduduk yang ditemubual, Muhammad ‘Ayed, menceritakan tentang sekatan ketat ke atas keperluan asasi harian mereka, termasuklah tidak dibenarkan membawa gas memasak. “Kalau kawan-kawan nak datang menziarah, kami perlu menyelaras lawatan mereka [dengan tentera Zionis]. Mereka mungkin dibenarkan melawat, mungkin juga tidak. Pada dasarnya, kami tinggal dalam penjara di sini.”

Selepas Muhammad ‘Ayed beliau berkahwin, rejim Zionis tidak meluluskan permohonan untuk membesarkan rumah ibubapanya. Beliau akhirnya terpaksa keluar dari perkampungan tersebut untuk membina keluarganya sendiri.

Penduduk Nabi Samuel dikenakan berbagai bentuk halangan dan paksaan, sehinggakan mereka tidak lagi bebas dan tidak dapat menentukan pergerakan seharian mereka sendiri.

Satu lagi aspek kawalan tentera Zionis ke atas Nabi Samuel ialah membina sebuah “taman negara” dengan konsep yang melucukan. Taman tersebut dipanggil “Samuel” bersempena nama Nabi Samuel, namun tidak dikaitkan langsung dengan Palestin walaupun masih terdapat sebuah perkampungan yang masih didiami oleh penduduk Palestin di dalam taman tersebut.

Menurut seorang ahli arkeologi yang bekerja di taman tersebut dari tahun 1993 hingga 1994, tinggalan arkeologi Islam dan Kristian berusia 2,000 tahun telah dimusnahkan oleh rejim Zionis.

Perkampungan Nabi Samuel dan penduduknya masih kekal di situ walaupun terpaksa hidup dalam sebuah penjara.

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts