GAZA, 27 Mei 2013 — Majlis perletakan batu asas bagi membina Madrasah Islamiyah Malaysia-Indonesia di kem pelarian Deir Balah di Gaza Tengah telah selamat disempurnakan pagi tadi. Projek bantuan secara kerjasama di antara rakyat Malaysia dan Indonesia ini bakal memberi pendidikan terancang kepada lebih ramai generasi muda Palestin, sekaligus melahirkan generasi yang akan terus berjuang membebaskan Masjid al-Aqsa dan bumi wakaf umat Islam itu.

“Kita berhasrat batu asas ini bukan hanya mendirikan bangunan secara fizikal, tetapi juga membina manusia yang akan membawa kemenangan untuk Al-Aqsa dan Palestin,” kata Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, Dr Ismail Ridwan ketika menyempurnakan majlis tersebut. Turut hadir dalam majlis bersejarah itu termasuklah Pengarah Al-Sarraa Foundation, Ketua Umum Sahabat Al-Aqsha Indonesia dan wakil HALUAN Malaysia. Al-Sarraa Foundation yang beroperasi di Gaza, HALUAN Malaysia dan Sabahat Al-Aqsha Indonesia secara kerjasama memikul amanah untuk rakyat Gaza ini. Ianya dipantau secara langsung oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Apabila siap kelak, bangunan madrasah satu tingkat ini akan menempatkan sehingga 800 pelajar, di mana sebahagian besarnya merupakan anak-anak pelarian di kem Deir Balah.

Lebih seratus buah sekolah di Gaza telah musnah atau rosak dalam serangan-serangan tentera Zionis, termasuklah sekolah-sekolah yang dibina oleh badan dunia seperti UNRWA (United Nations Relief and Works Agency.) Kekurangan kemudahan pendidikan akibat kezaliman ini menyebabkan bangunan-bangunan sekolah terpaksa diguna secara bergiliran di antara sesi pagi dan petang, bahkan kadangkala terpaksa mengadakan sesi sekolah pada waktu malam. Embargo haram rejim Zionis yang masih dikenakan ke atas rakyat Gaza sejak lebih tujuh tahun lalu terus menafikan peluang anak-anak Gaza untuk mendapat pendidikan yang sempurna.

HALUAN sebagai salah sebuah NGO yang memikul amanah menyediakan kemudahan pendidikan anak-anak Palestin ini menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus membantu. “Bantuan dalam sektor pendidikan adalah sangat penting dan mulia. Sama-samalah kita berdoa dan membantu sehingga projek ini terlaksana dengan sempurna. Kita harapkan agar keperitan yang dilalui oleh anak-anak Palestin ini dapat mengetuk hati-hati rakyat Malaysia supaya insaf untuk terus membantu,” seru Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan. “Semoga Allah memberi pertolongan kepada kita untuk menjayakan amanah ini. Projek ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia dan Indonesia yang ikhlas membantu, dan InsyaAllah mendapat ganjaran besar dari Allah SWT.”

Anda boleh turut membantu projek pembangunan madrasah ini melalui “Tabung Palestin HALUAN” di Bank Islam Malaysia Berhad 14 023 01 003429 2 atau Maybank Berhad 5644 – 9020 – 8528.

SHARE