Perbicaraan Mavi Marmara: Dunia Menanti Saat Zionis Diseret ke Muka Pengadilan

Penjenayah (dari kiri ke kanan) Gabi Ashkenazi, Amos Yadlin, Avishai Levi dan Eliezer Marom.
Penjenayah (dari kiri ke kanan) Gabi Ashkenazi, Amos Yadlin, Avishai Levi dan Eliezer Marom.

ISTANBUL, 2 Nov 2012 — Para ulamak, ahli politik, wartawan dan aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia sedang menantikan satu detik bersejarah apabila empat bekas pemimpin kanan tentera Zionis akan dibicarakan atas tuduhan jenayah berat menyerang Freedom Flotilla Gaza dan kapal MV Mavi Marmara.

Sesi pendengaran pertama dijadualkan bermula pada 6 November nanti di Istanbul Çağlayan Courthouse. Penganjur utama Freedom Flotilla, IHH Humanitarian Relief Foundation (IHH), menjadi pengadu utama pendakwaan ini sebagai mewakili ratusan mangsa serangan pada 31 Mei 2010 itu. Manakala seramai 490 orang pengadu lain merupakan mangsa dan saudara mereka yang telah dibunuh.

Kenyataan media IHH menyebut bahawa ratusan orang peguam dari seluruh dunia akan hadir sebagai plaintif, manakala ramai ulamak, ahli politik, wartawan dan aktivis kemanusiaan terkemuka telah memberi komitmen untuk hadir sebagai pengadu atau pemerhati. Antaranya, bekas Kolonel Tentera Amerika, Ann Wright; wartawan British, Yvonne Ridley; dan bekas anggota semboyan tentera laut Amerika yang terselamat dalam serangan USS Liberty 1967, Joe Meadors; akan hadir sebagai pengadu. Agensi media dari negara-negara Amerika, Afrika, Eropah dan juga China telah membuat permohonan untuk mengikuti sesi perbicaraan tersebut.

Kes jenayah ini telah difailkan di Mahkamah Tinggi Jenayah Istanbul pada 7 Mei 2012. Selepas siasatan yang dilakukan oleh Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul, pendakwaan telah dibuat ke atas empat bekas komander kanan angkatan bersenjata rejim Zionis.

Tentera Zionis bertindak kejam membunuh pemuda Amerika berketurunan Turki, Furqan Dorgan (gambar kecil) ketika merakam aksi kejahatan mereka. Laporan autopsi mendapati Furqan terkena 5 tembakan iaitu di atas hidung, belakang badan, belakang kepala, kaki kiri, betis kiri dari jarak 45cm.
Tentera Zionis bertindak kejam membunuh pemuda Amerika berketurunan Turki, Furqan Dorgan (gambar kecil) ketika merakam aksi kejahatan mereka. Laporan autopsi mendapati Furqan terkena 5 tembakan iaitu di atas hidung, belakang badan, belakang kepala, kaki kiri, betis kiri dari jarak 45cm.

Mereka yang didakwa adalah bekas Ketua Staff Angkatan Tentera, Jeneral Gabi Ashkenazi; bekas Naib Komander Angkatan Tentera Laut, Adm Eliezer Marom; bekas Ketua Perisikan Tentera, Mejar Jeneral Amos Yadlin; dan bekas Ketua Perisikan Tentera Udara, Brig. Jeneral Avishai Levi. Mereka akan dibicarakan sebagai suspek buruan (fugitive suspects).

Usaha membawa pemimpin Zionis ke muka pengadilan ini merupakan permulaan kepada rentetan pendakwaan yang akan dilakukan di peringkat kebangsaan di Turki, Amerika, Sepanyol, Belgium dan Itali, dan juga di peringkat antarabangsa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Perbicaraan ini bakal menyaksikan Israel diheret ke muka pengadilan oleh masyarakat antarabangsa, bukan sekadar oleh rakyat Palestin. Usaha perundangan ini menjadi suatu igauan ngeri kepada rejim Zionis kerana sebelum ini mereka tidak pernah berjaya didakwa di mahkamah, bahkan mereka telah cuba merasuah keluarga mangsa yang mereka bunuh dan cederakan supaya menarik balik pendakwaan ini.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts