Perkampungan al-Araqeeb diroboh kali ke-131

GURUN NAQAB, 26 Julai 2018 — Tentera penjajah Zionis pagi tadi memaksa penduduk Palestin di perkampungan al-Araqeeb di selatan Gurun Naqab keluar mengosongkan khemah dan pondok mereka, sebelum meroboh perkampungan Badwi itu buat kali ke-131.

Semua penduduk termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas ditinggalkan tanpa tempat berteduh. Berbeza dari kaedah meroboh sebelum ini, tentera Zionis kali ini merampas barangan milik penduduk.

Kali terakhir al-Araqeeb diroboh pada 27 Jun lalu. Ia pertama kali diroboh pada 27 Julai 2010, atas alasan tanah perkampungan itu adalah sebahagian daripada “harta negara” Zionis.

Penduduk al-Araqeeb dikenakan denda benilai jutaan dollar, dan caj bayaran kos kegunaan jentera buldozer Zionis yang digunakan untuk meroboh rumah mereka.

Al-Araqeeb dibina pada era pemerintahan Khalifah Uthmaniyah di atas tanah yang dibeli oleh penduduknya ketika itu. Ia merupakan salah satu daripada 51 perkampungan Badwi di Gurun Naqab yang “tidak diiktiraf” oleh rejim Zionis.

Rejim Zionis ingin memusnahkan perkampungan terbabit dan memindah penduduk ke kawasan khusus lain bagi memberi laluan kepada pembinaan bandar khusus untuk pendatang Yahudi. Justeru, penduduk di sini tidak mendapat kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan mahupun pendidikan sebagai usaha menekan mereka keluar, walaupun mereka diterima sebagai warganegara.

(PIC, Maan, IMEMC, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts