Perkampungan al-Araqib dimusnahkan kali ke-127

GURUN NAQAB, 17 Apr 2018 — Gerombolan besar polis Zionis mengiringi pasukan buldozer meroboh perkampungan al-Araqib di selatan Gurun Naqab pagi tadi, buat kali ke-127.

Pasukan Zionis menyerbu perkampungan Badwi itu di awal pagi, dan memaksa semua penduduk keluar dari rumah atau kemah mereka.

Tindakan tersebut dibuat hanya sehari selapas mahkamah menangguhkan perbicaraan rayuan oleh pemimpin perkampungan al-Araqib, Sheikh Sayah Al-Turi, terhadap keputusan rejim untuk menahan beliau selama 10 bulan. Mahkamah Majistret Beersheba mengenakan denda sebanyak $US10,300 ke atas Syeikh Sayah atas 18 kesalahan, termasuk tuduhan menceroboh “harta negara”, merujuk kepada tanah al-Araqib.

Al-Araqib dimusnahkan buat pertama kali pada 27 Julai 2010, atas alasan tanah tersebut adalah milik negara haram Zionis. Kali terakhir ia dimusnahkan pada 22 Mac lalu.

Ia dibina sejak zaman pemerintahan Uthmaniah di atas tanah yang dibeli oleh para penduduk ketika itu.

Al-Araqib merupakan salah satu daripada 45 buah perkampungan Badwi Arab di Gurun Naqab yang tidak diiktiraf oleh rejim Zionis. Pihak rejim berusaha memindahkan penduduk Badwi dari kawasan tersebut bagi membina sebuah bandar khusus untuk pendatang Yahudi.

Sekitar 240,000 penduduk Palestin tinggal di kawasan Gurun Naqab, di mana separuh daripada mereka tinggal di perkampungan-perkampungan yang dibina sejak ratusan tahun lalu.

(MEMO, PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts