Perkhidmatan Kesihatan Di Gaza Bakal Lumpuh

GAZA, 24 Ogos 2015 (Maan) — Kementerian Kesihatan Palestin mengeluarkan amaran bahawa perkhidmatan kesihatan di Gaza akan lumpuh akibat krisis bekalan elektrik yang berterusan.

Jurucakap kementerian, Dr Ashraf al-Qidra, menyebut bahawa empat buah hospital iaitu Hospital Shifa, Hospital Kamal Adwan, Hospital Eropah Gaza dan Hospital Rantisi mungkin terpaksa menghentikan khidmat mereka kerana kehabisan bekalan minyak.

“Keadaan sekarang ini adalah yang paling buruk sejak tertubuhnya Kementerian Kesihatan di Gaza,” kata beliau.

Gaza selama ini menerima bekalan dari grid kuasa elektrik Mesir dan rejim Zionis, serta bergantung kepada satu-satunya stesen janakuasa yang ada di Gaza – yang juga menghadapi masalah untuk menjana kuasa yang cukup bagi keperluan asas Gaza. Hospital-hostpital juga bergantung kepada bekalan elektrik dari generator swasta, namun bekalan minyak di Gaza amat terhad.

Krisis kesihatan di Gaza semakin memburuk akibat sekatan berterusan yang dikenakan oleh rejim Zionis dan sekutunya sejak lebih lapan tahun lalu.

Menurut World Health Organization (WHO), Gaza kini berhadapan dengan kekurangan bekalan ubat dan peralatan yang kronik akibat sekatan tersebut. Pada masa yang sama, pesakit yang memerlukan rawatan di hospital luar negara juga dihalang keluar dari Gaza.

Dalam pada itu, serangan tentera Zionis ke atas penduduk Gaza pada musim panas lalu telah merosakkan atau mamusnahkan sebanyak 17 daripada 32 buah hospital yang ada di Gaza. Manakala 50 daripada 97 pusat kesihatan utama juga mengalami nasib yang sama.

Ramai staf hospital termasuk doktor dan jururawat tidak dapat menjalankan tugas kerana tidak dibayar gaji sejak bulan Jun 2014. Mereka diberi bayaran gaji oleh kerajaan Hamas sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan Palestin, yang seterusnya menimbulkan masalah bayaran tersebut.

Birokrasi yang sering menghalang bekalan ubat dari pusat pemerintahan Palestin di Ramallah juga mengeruhkan keadaan kesihatan di Gaza.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts